Khamis, 9 Oktober 2014

Harapan Rara untuk exco muda S'gor

MALAYSIAKINI



 


Segmentasi Wanita Muda SAMM (Wanita Muda) mengucapkan tahniah kepada menteri besar (MB) Selangor yang baru, Azmin Ali dan juga barisan exco negeri Selangor yang baru.

Sepertimana yang pernah dinyatakan SAMM sebelum ini, krisis pertukaran MB Selangor harus ditamatkan dengan segera.

Wanita Muda menghargai sikap Azmin Ali yang melantik lebih ramai barisan exco dari kalangan anak muda seperti Nik Nazmi Ahmad, Amiruddin Shari dan Zaidy Abdul Talib.

Seperti mana yang kita sedia maklum, Langkah Kajang dicaturkan bagi menukar MB Selangor selepas MB terdahulu dilihat gagal untuk terjemahkan manifesto yang diumum Pakatan Rakyat.

Antara slogan 'Langkah Kajang' ialah untuk melangkah ke Putrajaya. Sebagai NGO yang mesra Pakatan, suka kami mengingatkan tentang salah satu janji pilihan raya Pakatan ialah pendidikan percuma.

Isu yang melibatkan anak muda khususnya golongan mahasiswa ini wajar diambil perhatian.

Walaupun Pakatan tidak berjaya menguasai kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum lalu, tetapi Pakatan masih mengekalkan penguasaan besar terhadap kerajaan Selangor, sebuah kerajaan maju, kaya dan sangat mirip dengan persekutuan Malaysia dari segi komposisi kaumnya.

Sehubungan itu, besar harapan Wanita Muda mahu melihat Nik Nazmi selaku pengerusi tetap pendidikan melakukan sesuatu untuk melaksanakan manifesto Pakatan bersesuaian dengan kemampuan kerajaan negeri.

Wanita Muda Mencadangkan:

  • Pendidikan percuma kepada semua pelajar institusi Selangor ialah Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Inspens, atau;
     
  • Pendidikan percuma kepada pelajar anak Selangor di institusi Selangor, atau;
     
  • Pendidikan percuma kepada pelajar miskin di institusi pendidikan Selangor atas inisiatif mengesan golongan ini dengan lebih tepat.
Jika pendidikan percuma dapat dilaksana, Unisel contohnya boleh menjalankan temuduga terbuka bagi memilih pelajar terbaik dari seluruh negara.

Namun sebagai menghormati dasar hak belajar dan pendidikan percuma untuk semua, Wanita Muda mencadangkan supaya ditetapkan kuota bagi memberi keadilan sewajarnya seperti 40 peratus untuk anak Selangor.

Sebanyak 30 peratus pelajar-pelajar pintar dari seluruh negara, 20 peratus pelajar pertengahan dari keluarga miskin dan 10 peratus pelajar antarabangsa.

Wanita Muda SAMM percaya Nik Nazmi mempunyai idea yang lebih baik, bagaimana cadangan ini mampu dilaksanakan.

Program ini jika berjaya dilaksanakan, mampu melonjak institusi pendidikan Selangor dengan cepat dan membuka mata rakyat Malaysia bahawa pendidikan percuma bukanlah mustahil.

Masalah seterusnya yang membelenggu anak muda ialah soal perumahan.

Kini, kawasan-kawasan yang dahulunya dilihat sebagai terkebelakang seperti Puncak Alam, Kundang, Rawang dan lain-lain, telah membangun dengan begitu pesat.

Pembangunan tersebut turut menyebabkan harga rumah melambung tinggi.

Jika dahulu kerajaan melaungkan slogan rumah mampu milik, kini rakyat hanya membaca slogan tersebut sebagai rumah mampu tengok.

Ia langsung tidak mencecah kadar mampu dari sudut pendapatan bulanan.

Kerajaan Selangor perlu segera menyelesaikan permasalahan ini, sama ada dengan membina rumah mampu milik yang boleh dibeli oleh rakyat melalui kaedah sewa beli ataupun membina rumah untuk disewa oleh rakyat dengan kadar yang berpatutan.

Permintaan terhadap perumahan dan permainan dalam industri perumahan boleh juga dikurangkan dengan kaedah waqaf.

Di mana, waqaf Selangor membeli rumah di kawasan strategik dan menyewakannya kepada rakyat dengan syarat-syarat tertentu.

Ini jika dilakukan tentu dapat menyekat nafsu golongan berkemampuan untuk menambah bilangan hartanah untuk disewakan, di mana mangsa sewaan mahal ialah golongan miskin, anak muda dan pelajar.

Jika permintaan terhadap perumahan berkurangan, dengan sendiri harga rumah mampu diturunkan.


YOUNG SYEFURA OTHMAN atau lebih dikenali sebagai Rara, penyelaras Segmentasi Wanita Muda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Tiada ulasan: