Oleh Shahbudin Husin
Satu-satunya aspek yang masih menjadi bualan masyarakat mengenai Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib di Parlimen, 10 Oktober lalu ialah bertambahnya jumlah BR1M yang diterima mulai tahun hadapan.
Melalui
bajet kali ini, jumlah BR1M bagi yang berpendapatan di bawah RM3 ribu
sebulan dinaikkan daripada RM650 kepada RM950 manakala yang
berpendapatan antara RM3 ribu hingga RM4 ribu pula dinaikkan daripada
RM450 kepada RM750. BR1M bagi orang bujang pula ditambah daripada RM300
menjadi RM350.
Kecuali bagi orang bujang, bayaran BR1M kali ini dlakukan secara ansuran tiga kali setahun iaitu pada bulan Januari, Mei dan September.
Bagi
pelbagai pengumuman lain, sama ada pembinaan lebuhraya baru, MRT dari
Selayang ke Putrajaya, LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama ke Shah
Alam, insentif cukai, galakan pemilikan harta, pembinaan jalan baru di
Sabah dan Sarawak, bonus setengah bulan gaji dan sebagainya, bukan saja
sudah dilupakan, malah tidak pun diperbualkan lagi.
Semua orang apabila bercakap mengenai Bajet 2015, hanyalah mengulas
mengenai BR1M saja. Tarikan tunai BR1M telah menenggelamkan semua yang
lain.
Daripada satu segi,
memanglah pemberian tunai ini menggembirakan mereka yang menerimanya
tetapi dari segi tanggungjawab kerajaan, apakah ianya mampu
menyelesaikan masalah beban kos kehidupan rakyat? Melalui kenaikan
petrol dan diesel sebanyak 20 sen baru-baru yang seterusnya menyebabkan
berlakunya rantaian peningkatan banyak barangan dan perkhidmatan yang
lain, menambah jumlah BR1M amat diragui keberkesanannya.
Apakah lebih lebih baik memberi rakya wang tunai berbanding
penyediaan harga barang keperluan serta perkhidmatan yang lebih
terkawal? Apakah dengan menambah jumlah tunai melalui BR1M ini,
bermakna akan berlaku lagi pemotongan subsidi minyak, gula, tepung dan
sebagainya selepas ini?
Jika tidak
memotong subsidi pula, bagaimanakah kerajaan mahu mendapatkan wang
untuk membayang BR1M ini? Jika BR1M sebanyak RM650 pada tahun lalu
saja, kerajaan dilaporkan memerlukan kira-kira RM4 billion, dengan
pertambahan kadarnya mulai tahun depan, tentulah lebih banyak wang
diperlukan lagi.
Jika tidak
melalui pemotongan subsidi rakyat bagi membayar BR1M, apakah kerajaan
akan menambah hutang lagi sedangkan kadarnya sekarang sudah pun melepasi
had 55 peratus daripada KDNK negara?
Congak sana, congak sini, tolak campur, bahagi darab - tidak dapat
dinafikan, bertambahnya jumlah BR1M yang diumumkan oleh Datuk Seri
Najib ini bukan saja diragui mampu menyelesaikan beban hidup rakyat,
bahkan menjadikan kewangan negara makin tenat.
Di sisi yang lain, langkah pemberian tunai ini juga menjadikan rakyat
lebih manja, malas dan kurang berdaya saing. Ia hanyalah langkah
populis yang menjadikan kerbergantungan rakyat kepada kerajaan dan
parti yang memerintah terus wujud. Dengan rakyat terpaksa mengadap
kerajaan tiga sekali setahun untuk menerima BR1M ini, sandaran rakyat
kepada "sedekah" itu akan menjadi lebih parah lagi.
Sebab itu, tidak menghairankan pemberian BR1M ini paling ditentang
oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Sudah acapkali beliau
menyebut pemberian tunai kepada rakyat tidak praktikal, tidak
menyumbang kebaikan kepada negara, malah ramai juga yang tidak
berterima kasih pun dengannya.
Ramai yang menganggap wang BR1M itu adalah wang rakyat yang bermaksud
wang mereka juga. Ia bukannya wang daripada poket pemimpin atau
daripada tabung parti yang memerintah tetapi wang yang terkumpul dalam
perbendaharaan negara.
Dalam dua
tulisan terkini di blognya mengenai penarikan balik sokongannya kepada
Datuk Seri Najib, Tun Mahathir mengulangi lagi menyebut mengenai
pemberian tunai BR1M ini. Jelas bahawa beliau memang tidak berkenan
dengan kaedah BR1M ini yang lebih banyak keburukan daripada kebaikannya
kepada rakyat dan juga negara.
Dengan meneruskan BR1M, malah menambah lagi jumlahnya, adalah jelas
bahawa Datuk Seri Najib tidak peduli lagi dengan Tun Mahathir dan
kelihatan tidak bimbang langsung dengan tiadanya lagi sokongan daripada
bekas Perdana Menteri itu. Sejarah bagaimana beberapa pemimpin
tergolek sebelum ini oleh tindakan Tun Mahathir dengan mangsa
terakhirnya ialah Tun Abdullah Badawi, nampaknya tidak menggusarkan
Datuk Seri Najib untuk berbuat sesuatu yang tidak menggembirakan bekas
Perdana Menteri itu.
Sebagaimana
ramai yang terus bercakap mengenai BR1M dalam Bajet 2015 ini, reaksi
Tun Mahathir juga tentunya ditunggu-tunggu tetapi kebanyakannya percaya
dengan makin bertambah jumlah pemberian tunai yang akan terus
membebankan kewangan negara ini, maka makin bertambah jugalah kemarahan
beliau kepada Datuk Seri Najib.
Tidak mustahil, Tun Mahathir akan menjadi bertambah agresif selepas ini. detik daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan