Ahad, 5 Oktober 2014

Banteras rasuah untuk kurangkan defisit, bukan naikkan harga minyak

LIM_GUAN_ENG_PC

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Kerajaan sepatutnya menggandakan usaha melawan rasuah jika benar-benar ingin mengurangkan defisit negara, bukannya menaikkan harga minyak, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Jika kerajaan ingin mengurangkan defisit dan hutang, kurangkan dahulu rasuah sebelum bercakap tentang subsidi. Mengapa tidak berbuat demikian?

“Datuk Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dilantik untuk membanteras rasuah ternyata telah gagal,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 2 Oktober lalu mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 daripada RM2.10 kepada RM2.30, manakala diesel daripada RM2 kepada RM2.20.

Ketua Menteri Pulau Pinang turut mempersoalkan kenaikan itu, di saat ada negara lain yang menurunkannya ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada 15 September lalu melaporkan, pasaran niaga hadapan minyak Amerika Syarikat mendekati harga terendah buat kali kedua dalam tempoh 16 bulan.

Menurut laporan itu lagi, harga per-tong bagi Oktober 2014 adalah USD 92,92 (RM302.42), turun 13 peratus berbanding paras tertinggi tahun ini pada Jun 2014.

“Mengapa ketika harga minyak dunia jatuh, di Malaysia pula sebaliknya?” katanya, sambil memetik India dan United Kingdom yang masing-masing menurunkan harga minyak sebanyak 65 paise (4 sen) dan 5 pence (27 sen).

Mengecam tindakan kerajaan itu, beliau turut menyatakan rasa bimbang terhadap kenaikan harga barangan berikutan kenaikan harga minyak. – Roketkini.com

Tiada ulasan: