Selasa, 13 Mei 2014
PAS, PKR jangan sogok Adun Umno Terengganu, kata pemerhati
Kepimpinan PAS dan PKR diminta tidak menyogok dan mempengaruhi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau ahli Parlimen daripada Umno untuk keluar parti itu, terutama di Terengganu, kata Penganalisis Politik, Profesor Dr Muhamad Agus Yusof.
Beliau berkata, jika masih ada Adun atau ahli Parlimen Umno yang mahu keluar daripada parti itu, biarlah atas tindakan sendiri, bukan kerana dipujuk atau sogokan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga Adun Umno di Terengganu termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang keluar Umno dan menjadi Adun Bebas susulan tidak berpuas hati dengan keputusan Putrajaya.
Tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri Terengganu sekarang bergoncang dan boleh tumbang bila-bila masa sahaja.
Menerusi akaun Facebooknya, Agus berkata, jalan terbaik dalam menghadapi krisis di Terengganu sekarang adalah dengan cara menyerahkan semula mandat kepada rakyat Terengganu.
"Saya fikir tidak sesuai hanya dengan tindakan beberapa Adun keluar parti, maka kerajaan Terengganu bertukar tangan.
"Jika bertukar tangan, biarlah ‘rakyat’ yang menjadi penentunya. Bubarkan DUN dan serahkan kepada rakyat untuk membuat pemilihan semula. Itu yang terbaik untuk menjunjung demokrasi," katanya.
Pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, apa yang jelas kapal Umno di Terengganu semakin bocor.
"Bolehkah diselamatkan daripada tenggelam?" katanya.
Dua hari lalu, Umno menyambut ulang tahunnya yang ke-68 dengan suasana meriah termasuk upacara potong kek dan semangat untuk terus kuat.
Pada waktu itu, Umno menafikan akan ada pertukaran menteri besar, tetapi tiba-tiba semalam MB Terengganu meletakkan jawatan dan digantikan dengan MB baru.
"Macam sarkas sahaja kata-kata pemimpin Umno ini, menafikan hal yang betul-betul akan berlaku," kata Agus.
Agus turut mempersoalkan, mengapa tidak belajar daripada pengalaman 2008 dahulu ketika perdana menteri ketika itu menafikan Dewan Rakyat akan dibubarkan, tiba-tiba esoknya dibubarkan hingga menyebabkan berlaku tsunami politik.
"Semoga selepas ini, kita sama-sama belajar untuk berkata jujur dalam politik," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan