KUALA LUMPUR: Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Setiausaha Ulamak Muda Umno, Mohd Radzi Othman membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam khususnya muslimah yang hadir pada Himpunan Bantah 501 pada 1 Mei lalu.
Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Azhar Yahya (gambar) berkata, kenyataan itu sememangnya suatu fitnah ke atas kehormatan dan kesucian serta maruah keperibadian seorang muslimah.
Tegasnya, muslimah yang melibatkan diri dalam himpunan itu jelas berpakaian menutup aurat bertepatan dengan tuntutan Islam yang sudah cukup jelas lagi nyata perbezaannya jika hendak disamakan dengan pelacur.
Radzi dalam entrinya di laman facebook menganggap muslimah bertudung labuh yang hadir pada perhimpunan membantah GST, 1 Mei lalu seperti "pelacur kelas atasan".
"Tindakan menyamakan peserta muslimah dengan perumpamaan sedemikian umpama memfitnah sekumpulan wanita baik lagi suci dengan tuduhan yang melampau lagi bercanggah dengan syarak.
"Muslimah atau srikandi pada zaman Rasulullah s.a.w. juga turut keluar berjihad di medan melibatkan perjuangan Islam, apatah lagi demonstrasi aman yang disertai muslimah dalam keadaan yang terjaga akhlak, terkawal pergaulan meskipun disaat padatan demonstran.
"Inilah hasil didikan tarbiah yang mendisiplinkan diri mereka dengan iman, Islam dan akhlak dimana sahaja mereka berada," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, laungan yang terbit dari mulut para muslimah bukanlah aurat.
Tambahnya, laungan takbir dan semangat lain yang jika hendak ditimbangi pada neraca syarak sekalipun masih lagi dalam khilaf yang muktabar.
Tetapi katanya, fitnah "pelacur kelas atasan" kepada muslimat yang menyahut seruan jihad menegur pemerintah adalah suatu yang jelas dosanya dan mengundang penyesalan di akhirat.
Kesongsangan Ulamak Muda Umno ini jelas beliau menggambarkan kefahaman amanah ilmu yang telah dibakulsampahkan dalam menilai saingan politik mereka.
Jelasnya, jika golongan semacam pelacur agama seperti ini disumbatkan dalam barisan ulama dalam Majlis Ulama Umno, maka umum sudah tahu apakah peranan mereka.
"Majlis Ulama Umno itu letaknya bukan di bawah ketiak Pemuda tetapi dicelah lutut sahaja iaitu di bawah Akademi sahaja. Maka memang layak ulama Umno dicerukdapurkan.
"Kedudukannya dah diperendahkan, bila bersuara sememangnya jelas memang rendah akhlak dan ilmunya.
"Amat memalukan di kala Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bercakap mengenai hudud, ulama mudanya memfitnah muslimah yang merupakan pejuang hudud. Maka bertambahlah tugas Khairy yang bukan sahaja perlu mentarbiyyah MCA tetapi 'menyekolahkan' ulama mudanya," kata beliau.
Menurut Ustaz Azhar, Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat tetap berpendirian bahawa wanita sama ada bertudung labuh mahupun tidak, telah bersama-sama turun berdemonstrasi aman memaparkan solidariti serta membantah kezaliman GST.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan