Sabtu, 17 Mei 2014

KEADILAN akan kaji semula skim perkhidmatan dan rangsangan guru

Oleh Fiza Abd Halim


KUALA LUMPUR - KEADILAN akan mengkaji semula skim perkhidmatan dan menambah skim rangsangan bagi guru yang berkhidmat di pedalaman sebagai usaha untuk memartabat golongan itu dan sistem pendidikan negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, KEADILAN juga mahu menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan pensyarah supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras dengan masa.

WAWI Raya“Kita akan berjuang untuk berusaha meningkatkan mutu pendidikan guru, bagi setiap peringkat sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.

“KEADILAN dan Pakatan Rakyat juga bertekad, untuk menyediakan sebuah sistem pendidikan yang mapan, bermutu tinggi dan menjamin peluang yang saksama kepada seluruh rakyat,” katanya pada perutusan Hari Guru 2014.

Sempena sambutan itu hari ini, Wan Azizah berkata, KEADILAN mengharapkan para guru terus berperanan, berusaha mencapai matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan daya intelek.

Beliau berkata, peranan guru amat besar kepada generasi sekarang dan juga yang akan datang kerana guru adalah pendidik anak-anak selain daripada ibu bapa.

“Guru adalah insan yang mengajarkan kita dan mendedahkan kita dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan, dengan pengetahuan itulah yang membentuk kita mempunyai daya pemikiran yang kreatif dalam mengejar cita-cita.

“Hasil didikan guru, menjadikan seseorang itu berjaya mendapat pendidikan yang cemerlang, berjaya di dalam kerja dan menggapai kemahsyuran dalam kehidupan,” ujarnya.

Tambah Wan Azizah, guru perlu dihormati dan dimuliakan kerana ilmu yang diajar oleh guru amat bernilai dan ia adalah bersesuaian dengan tuntutan Islam dan kepercayaan sejagat.

“Bersempena dengan Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei 2014, adalah disarankan agar, semangat ini harus kita teruskan.

“Penghormatan terhadap guru, harus kekal di sanubari kita,” katanya.

Tiada ulasan: