Muhammad Ismail Ibrahim


SECARA umumnya, kita akui beberapa sumbangan yang telah dilakukan Isma dalam perjalanan gerakan dakwah di Malaysia mutakhir ini. Di peringkat universiti, Isma melalui 'rank-and-file' nya Pembina, turut terlibat dalam program dakwah sebagai seruan kepada mahasiswa Islam untuk mempraktikkan Islam dalam kehidupan seharian. Namun dalam beberapa perkara, kita berbeza pendapat khususnya melibatkan pandangan politik dalam melihat kerangka masyarakat majmuk pada hari ini.

Kenyataan demi kenyataan daripada pemimpin-pemimpin Isma seminggu dua ini telah membangkitkan beberapa persoalan dalam kalangan gerakan dakwah di dalam negara ini tentang apakah versi Islam yang sebenarnya yang cuba ditonjolkan oleh Isma? Beberapa percubaan untuk membangkitkan persoalan kontrak sosial di dalam bulan Mei ini sesuatu yang patut difikirkan kembali.

Pada asasnya, persoalan yang dibangkitkan bukanlah dalam ruang lingkup perbezaan pendapat. Kita akui bahawa setiap pendapat perlu diraikan sebagai menunjukkan kerencaman kehidupan bermasyarakat.  Akan tetapi, pandangan yang cuba digarap dalam pemikiran mereka adalah sesuatu yang aneh dan ganjil! Isma sepatutnya menilai kembali pandangan mereka dalam melihat kerangka dan hakikat sejarah.

Dari fakta sejarah, Islam lebih awal sampai di Sungai Indus dan Ganges di India berbanding Sungai Gombak dan Klang. Islam juga lebih dahulu sampai ke Sungai Yangtze di China berbanding Sungai Kelantan. Itu merupakan fakta yang tak boleh disanggah lagi. Oleh itu, kita tidak boleh menjadikan Islam itu sebagai hak eksklusif pihak-pihak tertentu.

Kenapa Isma tidak melihat kehadiran 'orang lain' 300 tahun lalu akibat daripada pelbagai faktor merupakan suatu peluang untuk dikhabarkan tentang keindahan Islam. Apa yang Isma perhatikan selama ini terhadap non-Muslim adalah kesan daripada proses dakwah yang tidak menyeluruh samada diri sendiri, masyarakat dan negara umumnya. Lihatlah akhlak kita hari ini sebagai seorang Muslim, apakah ianya akhlak al-Quran? Adakah ianya bertitik tolak dari ayat 'Rahmatan lil A'lamin? Adakah ianya menerangkan konsep ar-Rahman dan ar-Raheem? Jika tidak, maka tidak hairanlah mengapa 'orang lain' semakin jauh dari kita dan kita pula mengambil jalan bermusuh dengan mereka.

Pandangan politik

Pada pendapat sesetengah pihak, Isma cuba menjadikan 'Tanah Melayu' ini hanya untuk orang Melayu, yang merupakan respons dari satu sikap yang terhasil berdasarkan pengamatan tentang apa yang berlaku di Singapura. Sikap Xenophobia ini mendorong Isma lebih tegas dalam mengemukakan pandangan politik mereka ketika PRU13 yang berlangsung tahun lalu. Melihat kepada perubahan dan kebangkitan 'orang lain' yang menyokong Pakatan Rakyat, rasa pesimis Isma terhadap perubahan ini mendorong mereka bertindak meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu, kononnya mewakili suara sebenar orang Melayu.

Pas pada takwilan mereka sudah "tidak syari'e" lagi kerana bertindak mengadakan bekerjasama dengan bukan Islam. Maka tampillah pemimpin-pemimpin Pas menerangkan konsep tahaluf siasi kepada umat Islam amnya. Barangkali jika Pas tidak bersama Alternatif/Pakatan seperti dalam dekad-dekad 80-an dan 90-an dulu, Isma tidak menunggu lama untuk bersama mereka. Namun usia Pas yang lebih separuh abad sedikit sebanyak mematangkan tindakan mereka yang tidak naif lagi dalam melihat realiti kehidupan di Malaysia hari ini.

Pas terpaksa menyesuaikan beberapa pendekatan dan pandangan mereka terhadap 'orang lain' yang pernah dilakukan sepanjang perjalanan Pas dalam sejarah politik tanahair.

Lahir pemimpin seperti Khalid Samad dan Mujahid Yusuf Rawa yang dilihat bersikap lebih moderate dalam melihat waqi' hari ini. Isma perlu melihat bahawa toleransi yang cuba diwujudkan oleh Pas hari ini tidaklah mencerminkan bahawa mereka mengabaikan dan  menggadai kepentingan-kepentingan yang perlu dan wajib dipertahankan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kader Islam Progresif

Sampai bila kita ingin menjadi Melayu yang regresif. Kita berharap Isma lebih terkehadapan dalam berfikir dan bertindak sebagai terjemahan dari hasil tarbiyah dan usrah yang mereka lakukan. Untuk apa kita hadam teks-teks karangan Syed Qutb, Hassan al-Banna, Mustafa Masyhur dan Fathi Yakan di dalam usrah jika kita gagal melihat konteks yang perlu disesuaikan hari ini.

Kita berharap supaya Isma lebih matang daripada sahabat kita Perkasa dalam 'menggerakkan Melayu' dan bukan sekadar berbeza hanya pada kuffiyah dan songkok! Isma perlu mengambil teladan daripada Abim dalam melihat sesuatu isu yang menjadi keutamaan untuk diperjuangkan. Abim sejak dekad 70-an sangat lantang merespon isu-isu yang membabitkan umat Islam dalam dan luar negara. Mereka tidak memilih pendekatan terbelakang ini, apa yang mereka fahami, inilah hakikat Malaysia hari ini dan kita perlu terus bergerak bersama!

Adik-adik mahasiswa universiti yang baru berkecimpung dalam dunia dakwah khususnya Pembina perlu bersikap bersederhana dan tidak fanatik. Jangan mewujudkan sentimen kebencian di dalam media baru hanya semata-mata menegak kalimah hak 'berkatalah benar sekalipun pahit'. Boleh jadi apa yang kita laung-laungkan selama ini sudah tidak relevan lagi 10 tahun akan datang. Dan kita terpaksa akui dan menelan hakikat bahawa kita terpaksa menjilat kembali ludah semalam. Pengalaman hidup yang kita lalui sedikit sebanyak akan merubah pandangan terdapat sesuatu perkara.
 
(*)  Muhammad Ismail Ibrahim  Editor The Kelantan Times