Ahad, 25 Mei 2014

Dyana di Teluk Intan: Sirih pulang ke gagang

Dyana_ww


Roketkini.com


Sejak beberapa hari lalu, nama Dyana Sofya tiba-tiba menjadi sebutan hampir semua media sebagai bakal calon untuk mempertahankan Parlimen Teluk Intan yang dimenangi DAP pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Desas-desus itu akhirnya menjadi hakikat apabila wanita yang menjadikan Muay Thai sebagai sukan kegemarannya itu dipilih sebagai calon dan namanya diumumkan sewaktu perasmian pusat pilihanraya DAP Teluk Intan, semalam.

Pencalonan Dyana Sofya Mohd Daud, 27 tahun, yang berketurunan Mandailing untuk kerusi parlimen ini menghimbau sejarah awal Teluk Intan.

Teluk Intan dikatakan mendapat nama dari seorang wanita Mandailing iaitu Mak Intan, tokoh penaung kelompok pedagang pada penghujung abad ke-19. Cerita lisan beberapa penduduk di sini mengungkapkan bahawa pada suatu hari, Mak Intan bersama beberapa rakan-rakannya sedang mandi-manda dan bersuka-ria di teluk Sungai Perak, tidak semena-mena pacak intan yang dipakai di sanggulnya terjatuh ke dalam sungai dan hilang.

Sejak peristiwa itu, tempat itu mula diberi nama sebagai Teluk Mak Intan, sebelum bertukar nama kepada Telok Anson dan kini Teluk Intan.

Lahir 29 Disember 1987, Dyana adalah anak ketiga daripada empat adik-beradik. Anak perempuan tunggal pasangan Mohd Daud Ismail dan Yammy Samat ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Kuala Lumpur, sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan menerima ijazah Sarjana Undang-Undang pada tahun 2010.

Di universiti, gadis ini aktif dalam aktiviti fakulti, termasuk menyertai Moot Club (‘kelab mahkamah’) UiTM dan Kelab Undang-Undang Alam Sekitar.

Kecenderungannya pada politik yang sememangnya bermula dari kecil lagi, beliau mengutip pengalaman daripada penglibatan ibunya secara giat dalam arena politik. Ibunya merupakan wanita pertama yang menjawat jawatan sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Ipoh Barat sebelum menyertai Semangat 46 pada tahun 1988 dan menyertai semula UMNO pada 1998.

Berselendang hitam dan berbaju kurung putih ketika ditemui di tingkat dua pusat operasi pilihanraya DAP Teluk Intan, penampilannya itu cukup sopan dan sedikit-sebanyak mengingatkan saya kepada watak Maida dalam filem Ruma Maida yang ditulis Ayu Utami. Di tengah kerancakan persiapan kempen, beliau kelihatan tenang dan masih sempat bergurau-senda dengan beberapa pemimpin parti serta rakan-rakan.

Ditanya tentang misi awal jika dipilih sebagai ahli parlimen, Dyana menyatakan tekad untuk meneruskan perjuangan dan kerja kuat mendiang Seah Leong Peng, wakil rakyat Teluk Intan yang meninggal dunia pada 1 Mei lalu.

“Mendiang Seah telah memberikan segala-galanya di sini. Memang sukar untuk menyamai prestasinya, tapi saya yakin mampu melakukannya berdasarkan semangat kental serta pengalaman dan pelajaran yang dikutip daripada rakan-rakan DAP, terutama sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah (Lim Kit Siang) sejak tahun lalu,” katanya tersenyum sambil membetulkan selendang.

Ditanya bagaimana beliau boleh memilih DAP sebagai landasan perjuangan politik, Dyana tanpa teragak-agak menjawab bahawa pilihan yang dibuatnya berdasarkan prinsip dan sifat jamak budaya parti itu.

“Selepas tamat pengajian dan bergelar peguam, saya mula mengkaji parti mana yang bersesuaian.
Kemudiannya saya ditemukan oleh seorang kawan dengan pemimpin muda DAP Zairil Khir Johari.

“Melalui penerangan-penerangan beliau, saya merasa yakin bahawa DAP adalah pilihan terbaik.

“Ketika menyertai DAP, saya berasa seperti di kindergarten, di mana semua kaum tanpa mengira warna kulit boleh bergaul mesra dan saling menghormati antara satu sama lain. Amalan sebegini patut dan harus diteruskan oleh semua kita.

“Malaysia memerlukan politik baru. DAP menolak politik perkauman dan memperjuangkan demokrasi sosial, sebab itu saya memilih untuk menyertainya.

Dyana yang menjadikan buku-buku sejarah sebagai bahan bacaan kesukaannya menyatakan, beliau mengenali Teluk Intan secara dekat dan sering berkunjung ke sini kerana banyak saudara-maranya menetap di pekan hilir Perak ini.

“Teluk Intan mempunyai sejarah yang kaya. Kalau dilihat berdasarkan sejarah, tempat ini diberi nama daripada seorang wanita Mandailing dan kebetulan saya berketurunan Mandailing dari ayah saya.

“Orang Mandailing berasal dari pedalaman Pantai Barat Sumatera dan Tapanuli Selatan, Indonesia,” ujar Dyana yang kemudian menyatakan Sulalatus Salatin, atau Hikayat Sejarah Melayu, sebagai buku paling digemarinya.

Selain isu perkauman, Dyana melihat isu lainnya, seperti pengenalan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan hak asasi manusia, sebagai agenda utama yang akan diperjuangkan untuk memastikan rakyat tidak terus-menerus ditindas.

“Saya menentang GST, kerana membebankan rakyat dan melalui pelaksanaan akta itu ia akan menyebabkan rakyat yang sekarang hidup dalam kesusahan akan bertambah susah.

“Malaysia perlu beralih daripada politik perkauman dan memberi tumpuan kepada perpaduan dan kebersamaan. Hakikat persamaan juga harus diserlahkan dengan lebih mendalam.

“Pada saya, generasi muda memikul tugas yang amat besar, tapi tidak mustahil untuk digapai, iaitu untuk meningkatkan persefahaman dan memecahkan segala halangan-halangan dangkal ciptaan pemerintah.

“Saya juga menjunjung tinggi kedudukan Islam dan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau penuh semangat.

Ditanya lagi, selain meneruskan legasi mendiang Seah, apakah matlamat beliau jika dipilih di Teluk Intan, dengan penuh keyakinan Dyana menyebut bahawa meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagai misi utamanya.

“Saya bertekad untuk menjadi suara kepada semua penduduk Teluk Intan.

“Saya mahu mewujudkan hubungan yang nyaman antara penduduk kerana ia akan memberi manfaat kepada semua.

“Saya juga akan bekerja bersama pimpinan akar umbi termasuk Adun Pasir Bedamar Terence Naidu.”

“Kita akan membentuk sebuah pasukan kuat, memupuk hubungan dengan pihak berkuasa tempatan dan bekerjasama melakukan yang terbaik untuk kepentingan mereka, seperti menangani masalah tanah, prasarana, kemudahan dan lain lagi,” kata Dyana yang sering terlibat secara langsung bersama masyarakat sepanjang berkhidmat di Gelang Patah. -Roketkini.com

Tiada ulasan: