Izmil Amri
Jarang sekali rakyat Malaysia menegakkan tempat duduk dan membuntangkan mata apabila melihat mana-mana ahli politik muncul ke tengah khalayak, apatah lagi sewaktu pilihanraya. Bagi banyak dari kalangan kita, ahli politik harusnya tua, punya pengalaman luas, duit berbakul-bakul dan sudah penuh lemak perut.
Ini selalunya kita lihat kedapatan di kalangan wanita UMNO, dengan tudung merah, gincu merah tebal dan baju kurung besar yang menyembunyikan tubuh yang kian gempal.
Secara tiba-tiba, budaya ahli politik buruk dan tidak menarik ini digugat sekali lagi dengan hadirnya seorang anak gadis Melayu yang dipertaruhkan DAP sebagai calon pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan.
Sebenarnya ini bukan pertama kali arena politik Malaysia menerima kehadiran ‘awek cun’ yang mendobrak dan menggawatkan keadaan. Sudah ada ramai ‘awek cun’ lain yang hadir meramaikan suasana hambar politik negara yang balik-balik berbicara soal rasuah, perkauman sempit dan hal-hal curi lembu.
Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang terpalit dengan skandal lembu juga pernah tewas di tangan seorang ‘awek cun’ di Lembah Pantai. Nurul Izzah Anwar hampir tidak perlu penat berkempen.
Berdiri sahaja di pentas, orang ramai sudah bertepuk tangan dan membetulkan duduk mereka.
Poster kempen Nurul Izzah juga selalunya hilang dalam masa kurang 24 jam; dengan dawai pengikatnya sekali ghaib.
Sama halnya dengan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Dengan perawakan yang disebutnya sebagai ‘swag’, menantu Pak Lah ini menjadi kegilaan ramai anak gadis bertudung merah jambu yang berbondong-bondong isi borang Puteri UMNO.
Khairy turut menghadirkan kelainan ke dalam parti tersebut yang rata-rata dihuni pakcik-pakcik berperut buncit. Perut Khairy tidak begitu kelihatan dan kemas tersembunyi di balik baju batik Jawa yang digayakannya dengan seluar jeans.
Ini semua adalah sebahagian daripada politik baru yang dianjurkan banyak pihak. Politik baru, menggantikan politik lama. Orang baru, menggantikan orang lama. Dan begitulah seterusnya.
Dyana Sofya, anak gadis kelahiran Perak, graduan undang-undang Universiti Teknologi MARA adalah edisi terbaru kepada gelombang politik segar ini. Hatta ada yang berseloroh kononnya sebaik sahaja Dyana diumumkan sebagai calon DAP di Teluk Intan, Menara Condong yang begitu sinonim dengan daerah itu terus berdiri tegak.
Malaysia, untuk seminggu dua ini, akan berada dalam keadaan terkejut dengan hal ini. Secara amnya kerana a) Dyana ini cantik orangnya, b) dia calon DAP dan c) dia calon wanita Melayu DAP pertama mahu dihantar ke Parlimen dan d) Dyana ini cantik betul. Ok, itu tadi dah sebut.
Takkan lah sebab cun sahaja
Tetapi Dyana dijadikan calon DAP bukan hanya kerana dia ‘cun’. Sifat ‘cun’ ini setakat sampai ke kulit muka sahaja. Kalau DAP semata-mata mahu calonkan awek cun, berlambak lagi awek cun ada. Dyana lebih dari sekadar cun, Dyana awek cun menggugat.
Sejak semalam serangan demi serangan terhadap Dyana bertali arus. Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah contohnya menyifatkan Dyana sebagai menggigit tangan yang memberinya peluang, merujuk kepada Dyana si graduan UiTM yang baginya merupakan sebuah institusi bikinan UMNO.
Datuk Shamsul barangkali lupa bahawa UMNO tidak bikin UiTM dengan duit orang Melayu sahaja, tetapi menggunakan cukai yang dibayar rakyat kesemuanya tanpa mengira keturunan dan agama.
Barangkali Datuk Shamsul lebih berkenan kalau Dyana ikut tabiat orang UMNO yang tidak gigit tangan tetapi tunduk cium tangan pemimpin, tidak kira apa juga dosa mereka terhadap rakyat.
Dyana lahir daripada sistem UiTM, seperti juga ramai pemimpin muda hari ini yang akhirnya menolak politik perkauman sempit yang cuba diteruskan melalui politik akademia di institusi itu.
Dr Afif Bahardin, EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ahli politik Parti Keadilan Rakyat, juga graduan UiTM. Banyak lagi graduan UiTM yang mengikut serta perjuangan Pakatan Rakyat, tidak bermakna mereka khianat kepada bangsa dan agama.
Produk UiTM yang cemerlang akan memperjuangkan yang benar dan mendukung perjuangan demokrasi, keadilan dan kebenaran. Ini biasa. Yang luarbiasa ialah yang mengikut jejak langkah Ibrahim Ali (juga graduan ITM) yang kini tersekat di barzakh politik.
Dyana adalah produk UiTM yang cemerlang. Bukan sahaja lawa, malah punya kesedaran politik tinggi. Kesedaran politik tinggi ini barang tercicir yang jarang dijumpai di UiTM. Justeru sepatutnya UiTM bangga punya anak yang berani berdepan cabaran dan ditohmah segala bagai atas dasar percayanya kepada dasar keadilan dan kesepakatan, serta menolak politik perkauman.
Melayu dalam DAP yang kecewa dan keluar parti bukan Melayu seperti Dyana Sofya. Itu Melayu lima kupang. Dyana adalah Melayu yang tidak ternilai.
Ya, nah Teluk Intan! Sebutir permata buat kalian. Dyana Sofya; bukan sekadar awek cun. Tetapi awek cun yang menggugat kerusi kerajaan. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan