MALAYSIAKINI
Tindakan anggota Pemuda Umno yang mengancam untuk membakar pejabat DAP
semalam didakwa mencerminkan kelemahan pentadbiran Datuk Seri Najib
Razak.
Pengerusi biro undang-undang DAP Gobind Singh Deo berkata, aksi
keganasan itu menjadi peringatan tegas terhadap politik Umno dan
kelemahan Najib yang gagal menunaikan janji-janji pembaharuan.
“Saya tuntut beliau sebagai pengerusi BN, sebagai pemimpin Umno untuk menjawab.
"Kita perlu tahu apa pandangannya terhadap apa yang berlaku semalam.
“Sebagai pemimpin, beliau mesti pikul tanggungjawab penuh terhadap apa yang berlaku,” tambahnya.
Pengerusi DAP Tan Kok Wai pula turut menyalahkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ekoran insiden itu.
“Bukan hanya Khairy, tetapi seluruh Umno, (dan) presiden Umno sendiri.
“Sebabnya, insiden sebegini bukan kami pertama, Pemuda Umno berlagak macam samseng dalam banyak acara,” katanya. [Baca berita penuh]
Semalam, sekumpulan anggota Pemuda Umno
mengadakan bantahan di ibu pejabat DAP di Jalan Pudu kerana tidak puas
hati dengan tindakan seorang anggota DUN Pulau Pinang daripada parti itu
yang menggelar pemimpin Umno celaka.
Selain ungkapan menghinanya, sebuah papan tanda besar DAP juga ditumbangkan.
Sebelum
itu, dalam bantahan di DUN Pulau Pinang, sekumpulan peserta perhimpunan
menceroboh DUN, memaksa usul tergempar diadakan dan ketua pembangkang
negeri daripada Umno kemudiannya memohon maaf.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda DAP Tan Hong Pin (kiri)
berkata, pencerobohan terhadap DUN dan perhimpunan di depan pejabat DAP
semalam melanggar prinsip dan amalan demokrasi serta Akta Perhimpunan
Aman 2013.
“Kami akui bahawa setiap warganegara mempunyai hak bersuara dan hak berhimpun seperti mana yang kami senantiasa perjuangkan.
“Bagaimanapun kami berpendapat bahawa setiap hak ini ada asas dan batasnya,” katanya yang juga ADUN Mengkibol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan