Selasa, 20 Mei 2014

DAP buktikan ia parti berbilang kaum, kata Aspan

Dyana adalah anak yang baik dan boleh digilap serta boleh diberikan galakan untuk terus maju jauh ke hadapan


Aspan alias NewPETALING JAYA: Seorang ahli DAP, Aspan Alias (gambar) menjelaskan dengan adanya pencalonan Dyana Sofya sebagai calon yang mewakili DAP, ia dapat membersihkan nama DAP sebagai parti hanya untuk kaum Cina.

Menurutnya, ia jua merupakan salah satu punca kenapa DAP dan Pakatan Rakyat (PR) tidak berjaya sewaktu pilihan raya umum yang lalu adalah kerana isu bangsa yang menjadi isu hangat sewaktu itu.

“PAS telah berhadapan dengan isu penggunaan kalimah Allah yang disebut-sebut oleh rakan kongsinya DAP, dan DAP pula telah menunjukkan sikap chauvinistiknya kerana apa yang digambarkan parti itu sebagai parti untuk setiap bangsa tidak dilaksanakan sewaktu itu,” katanya dalam posting blognya yang terbaru www.aspanaliasnet.blogspot.com.

Aspan dahulu adalah aktivis Umno yang menyertai Team B pada tahun 1987. Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menyertai Semangat 46. beliau mengikut jejak langkah bekas Naib Presiden Umno itu dan Aspan pernah menjadi calon Semangat 46 di Kuala Pilah pada tahun 1990. Apabila Tengku Razaleigh kembali ke Umno pada tahun 1997, beliau menyertai DAP dan pernah disebut sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan jika DAP memerintah.

Kini, DAP hanya mempunyai seorang ahli parlimen yang berbangsa Melayu iaitu Ariff Sabri dan jika semua pihak mengiktiraf Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sebagai Melayu, maka DAP mempunyai dua orang wakil berbangsa Melayu.

Tambah Aspan, dengan terpilihnya Dyana sebagai calon DAP di Teluk Intan, DAP secara beransur-ansur dapat membuktikan dan menyakinkan orang ramai bahawa kali ini DAP tidak berbohong sebaliknya membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka serius bagi menjadian parti itu sebagai parti yang berbilang bangsa pada PRU akan datang.

“Saya merasakan Dyana akan memenangi PRK Teluk Intan ini kerana ramai yang menghubungi saya bagi menyatakan sokongan terhadap Dyana secara moral, dan sebagai langkah untuknya menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat serta memainkan peranan bagi memperjuangkan ‘multiracialisme’ sebenar dalam DAP,” katanya.

Ujarnya lagi, DAP bernasib baik pada PRK kali ini dengan tercalonnya Dyana, kerana DAP sempat untuk memperbaiki keyakinan masyarakat berbangsa Melayu yang DAP kini sedang berusaha bagi menjadikan parti itu ‘multiracial’, walaupun sasarannya masih jauh.

“Bagi saya pengundi di Teluk Intan seharusnya memberikan sokongan padu kepada Dyana, seorang wanita yang mempunyai sisik politik yang tinggi dan darah politiknya datang dari darah ibunya yang merupakan ahli seumur hidup Umno,” katanya.

Ternyata, walaupun keluarga ini adalah keluarga yang hidup dengan perjuangan dan kecenderungan politik yang berbeza, itu tidak memecah belahkan keluarganya.

“Kepada pengundi di Teluk Intan, saya tahu dan mengakui yang Dyana adalah anak yang baik dan boleh digilap serta boleh diberikan galakkan untuk terus maju jauh ke hadapan,” ujarnya.

Manakala bagi Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz yang juga merupakan ahli DAP, terkejut bahawa Umno dan rakan sekutunya tidak memahami fakta asas yang mudah, iaitu mana-mana individu bebas untuk memilih kesetiaan kepada mana-mana parti politik.

“Mengapa Umno sukar untuk menerima bahawa sesetengah pihak memang tidak mahu untuk bersama malah menjauhi Umno. Umno perlu belajar untuk menerima, bahawa tidak semua bangsa Melayu ingin menyertai Umno, dan tidak menyertai Umno adalah satu pilihan yang sangat rasional,” ujarnya dalam posting blognya yang terbaru www.sakmongkol.blogspot.com.

Katanya, orang Melayu yang separa bandar, dan di bandar mungkin tidak akan mengundi Umno dan pastinya Umno akan membantu sebaik mungkin sekutunya iaitu Gerakan serta akan berbelanja modal yang besar bagi membeli undi Melayu agar mereka menghentikan Dyana.

“Jika Dyana menang, dia akan menjadi satu ikon untuk generasi Melayu yang lebih muda dan memberi petanda bahawa ada satu kehidupan lain yang bermakna tanpa Umno,” katanya.

Ujarnya, pada esok, dan hari seterusnya, beliau dan rakan-rakannya akan turun ke Teluk Intan bagi membantu berkempen dan melakukan ceramah pusingan bagi calon DAP Teluk Intan itu. DAP telah memilih seorang wanita berbangsa Melayu, Dyana Sofya dan beliau juga telah disokong penuh oleh PR.

“Satu-satunya parti yang perlu dikejutkan ialah Umno. Mereka tidak dapat bayangkan bahawa DAP sekarang ini di puncak kejayaan kerana telah memilih seorang wanita berbangsa Melayu bertanding di Teluk Intan selain ini merupakan perkara yang luar biasa bagi orang Umno,” katanya.

Katanya, ini merupakan satu langkah bijak yang dilakukan oleh DAP, dan apa yang Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh lakukan?

Ia juga membuktikan bahawa DAP komited untuk terus berkembang sebagai sebuah parti pelbagai kaum. Ini juga satu langkah yang bijak oleh DAP.

“Pimpinan DAP telah membuktikan bahawa mereka mempunyai wawasan dan melihat dalam satu gambaran yang lebih besar,” katanya.

Ujar Ariff, apa yang terbaik untuk Datuk Seri Shahrizat Jalil kini lakukan adalah dengan melonggokkan belas kasihan dan mencemuh Dyana dengan menunjukkan bahawa Dyana telah terkeluar sebagai seorang yang tidak mengenang budi dan mengatakan bahawa Dyana hanya boneka bagi DAP.

Ahli Parlimen Raub ini turut yakin bahawa masyarakat Melayu akan mengundi Dyana kerana Dyana merupakan seorang wanita Melayu Malaysia dan bukannya wanita Melayu Umno.

Menurutnya, takrifan Melayu bagi Umno adalah individu itu haruslah menjadi ahli Umno.

“Mereka sepatutnya keluar dan menyokong Dyana kerana Dyana merupakan wanita Melayu Malaysia. Jika Cina turut percaya kepada Dyana, orang Melayu juga tidak ada sebab untuk tidak percaya kepada Dyana.

“Mempercayai Umno ialah langkah pertama untuk ke arah pembebasan yang telah terikat oleh orang Melayu buat sekian lama,” katanya.

Tiada ulasan: