Jumaat, 23 Mei 2014

Bukit Gelugor PRK Paling Aman - KPN

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor antara yang aman dalam sejarah PRK di negara ini.

Ini berikutan tiada kes jenayah serius dilaporkan sejak hari penamaan calon pada 12 Mei lalu sehingga hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, hanya 15 laporan diterima setakat ini.
"Daripada 15 laporan itu, hanya empat kertas siasatan dibuka dan ianya membabitkan kesalahan kecil di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan. Nampaknya, ini tempoh berkempan paling aman... tak ada banyak masalah," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat persiapan PRK Bukit Gelugor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, Jumaat.

Ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi PRK pada 25 Mei ini, Khalid berkata, segalanya berada dalam keadaan  baik dan terancang.

"Persiapan rapi dibuat dan kekuatan anggota bertugas mencukupi bagi memastikan kelancaran PRK ini," katanya.

Malah, beliau berkata, pihaknya turut bersedia menghadapi sebarang insiden yang mungkin timbul semasa hari pengundian, Ahad ini.

"Kita sedia hadapi apa jua kemungkinan. Saya juga amat yakin PRK ini akan berjalan lancar tanpa dicemari insiden tidak diingini," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan calon yang bertanding supaya tidak mengeluarkan ucapan dan kenyataan yang dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Sebelum berucap tu fikir dulu apa yang ingin dicakap... kerana takut ia akan menggugat keselamatan awam," katanya.

Tiada ulasan: