Muhyiddin Yassin


TELUK INTAN - Projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat yang menghubungkan Taiping, Perak ke Banting, Selangor yang meliputi 233km dengan kos RM5 bilion, akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk 22,000 orang.
  
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sementara lebih 2,000 tenaga kerja kekal membabitkan pekerja dan pegawai akan turut diwujudkan bagi mengurus lebuh raya itu.
   
Projek raksasa yang dijangka siap dalam lima tahun membuktikan kemampuan kerajaan dalam menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur untuk pembangunan negara dan kemudahan rakyat, katanya.
    
Beliau berkata demikian pada majlis memecah tanah projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat di Jambatan Teluk Intan-Setiawan, di sini hari ini.
  
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Muhyiddin berkata Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat akan menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi kawasan setempat di sepanjang jajaran lebuh raya itu.
  
Pembinaan lebuh raya itu juga akan menyediakan rangkaian perhubungan, aksesibiliti dan mobiliti terutama di kawasan pantai barat Semenanjung dari selatan di Banting ke utara di Taiping, katanya.
  
"Pelaksanaan projek ini selaras dengan hasrat kerajaan persekutuan untuk mengurangkan tahap jurang ekonomi dan pembangunan antara bandar dan desa," katanya.
  
Beliau berkata projek itu merupakan satu proses pembangunan pesat bukan sahaja di kawasan yang sudah dibangunkan tetapi juga di pekan seperti Teluk Intan, selain mewujudkan pertumbuhan kawasan baharu yang akan terus dimajukan di sekitar lebuh raya yang dibina.
  
Katanya, projek itu juga merupakan jaminan kerajaan supaya setiap fasa pembangunan yang berlaku di sekitar lebuh raya, tidak akan mewujudkan pekan yang akan menjadi 'pekan hantu atau pekan mati'.