Selasa, 1 Januari 2013

Orang Ramai Sambut Baik Pembaharuan Sambutan Tahun Baru Di Selangor


Peraduan-mewarna

SHAH ALAM : Pendekatan Pakatan Rakyat Selangor menganjurkan program sambutan tahun baru berbentuk ilmiah amat dialu-alukan oleh orang ramai.

Tinjauan Selangor Kini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pagi tadi mendapati rata-rata pengunjung yang ditemui di Program Karnival Pendidikan Negeri Selangor (EduSEL), mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri menganjurkan sambutan yang disifatkan penuh sederhana namun sangat bermanfaat.

Menurut Kamal Ibrahim, 42, program-program sebegini dilihat mampu mendidik masyarakat dengan cara yang berfaedah berbanding dengan amalan kebiasaan sebelum ini yang mengutamakan program berbentuk hiburan semata-mata.

“Inilah antara masanya kita dapat meluangkan masa dengan membawa anak-anak ke program yang baik dan penuh pengisian ilmunya.

“Bagi saya, ini juga merupakan satu bentuk didikan dan acuan untuk kita membentuk anak-anak kita dan generasi akan datang supaya mereka maju dari segi pendidikan, jati diri serta berakhlak tinggi,” tegas bapa kepada tujuh anak ini.
Peraduan-mewarna-Yunizayana
Pendapat Kamal turut dipersetujui Yunizayana Sueeyto, 33, yang turut memberi cadangan agar negeri-negeri lain turut mengikut langkah bijak Kerajaan Negeri untuk memberi hiburan kepada rakyat dalam bentuk yang menarik.

“Biasanya sambutan tahun baru hanya diraikan golongan anak-anak muda tetapi program anjuran Kerajaan Negeri ini sesuai untuk semua sekali samada kanak-kanak, ibu bapa, datuk nenek dan semua boleh sertai.

“Dalam kita berseronok, kita juga dapat ilmu. Itulah yang mahal,” ujar Yunizayana yang hadir bersama suami menemani anak-anak mereka menyertai Pertandingan Mewarna dan Melukis pagi tadi.

Seramai 70 orang kanak-kanak menyertai pertandingan tersebut yang terbahagi kepada empat kategori iaitu Kategori Mewarna 4 hingga 6 tahun, kategori Mewarna 7 hingga 12 tahun selain Melukis 6 hingga 9 tahun dan juga kategori Melukis 10 hingga 12 tahun.

Peraduan-mewarna-pemenang

Bagi Kategori Mewarna 4 hingga 6 tahun, ianya dimenangi Quratul Aini Syaurah Fansuri, 6,  manakala bagi Kategori Mewarna 7 hingga 12 tahun pula dimenangi Mohd Haikal Asyraf, 7.

Sementara itu, bagi kategori Melukis 6 hingga 9 tahun ianya diungguli Umar Saif Abd Wahid, 9, selain kategori 10 hingga 12 tahun dimenangi Nur Izzatul Akma, 12.

Pemenang tempat pertama setiap kategori menerima RM 100 dan juga hamper, diikuti tempat kedua yang menerima wang RM 70 dan hamper selain tempat ketiga yang turut menerima wang tunai bernilai RM 50 dan juga hamper.

Tiada ulasan: