Ahad, 27 Januari 2013

Pemilik banglo terkejut terima 28 surat PM tertera nama tidak dikenali

NUR FARHANA ABDUL MANAN

Hannah (dua, kanan)
Hannah (dua, kanan) menunjukkan 28 surat mengandungi mesej politik BN dengan nama penerima berlainan yang dihantar ke alamat seorang pengundi di Petaling Jaya, dua minggu lalu.
 
SUBANG JAYA – Seorang pemilik banglo terkejut apabila 28 pucuk surat berbeza nama penerima yang mengandungi mesej tahun baru dan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihantar ke rumahnya di Petaling Jaya.

Surat berkenaan didakwa mula diterima sejak dua minggu lalu tertera nama penerima yang langsung tidak dikenalinya.

Hairan dengan perkara itu, pemilik rumah berkenaan mengadukan perkara itu kepada Adun angkat Bukit Gasing, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Hannah berkata, berikutan aduan berkenaan, pemeriksaan dilakukan menerusi senarai daftar pengundi suku tahun pertama 2012 dan hasil mengejutkan apabila mendapati 28 nama berkenaan didaftarkan di alamat pengadu.

Menurutnya, lebih mengejutkan ada sembilan lagi nama didaftarkan beralamat di rumah pengadu dan menjadikan 37 pengundi berdaftar di alamat sama.

“Daripada jumlah itu, dua adalah  Melayu, seorang India dan lainnya adalah pengundi Cina dengan nama keluarga berlainan yang berumur antara 36 hingga 90 tahun.

“Inilah yang hendak kita persoalkan kepada Pengerusi BN Selangor, adakah semua mereka ini pengundi hantu mereka?," katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut menggesa pengundi yang dapat surat berkenaan tetapi tidak mengenali nama penerima supaya membawanya ke pejabat Adun atau Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) untuk tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan: