BATU CAVES : Kerajaan Negeri akan memastikan pembangunan di kawasan Batu Caves di sini pada masa depan dijalankan secara betul dan terancang.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu perlu berikutan supaya kawasan kuil bagi masyarakat India beragama Hindu yang terdapat di situ terpelihara dan tidak terjejas.
Maka dengan itu, katanya, Kerajaan Negeri membuat keputusan membatalkan projek pembangunan kondominium 26 tingkat dirancang di kawasan bersebelahan kuil tersebut.
“Kita mahu pembangunan di Batu Caves ini dibuat dengan betul supaya kaum India dapat merasakan bahawa mereka mempunyai satu pembangunan yang tidak ada masalah dari segi kelulusan dan kuil ini terus dijaga beratus tahun.
“Maka sebab itu Kerajaan Negeri membuat keputusan supaya pembangunan di batu caves ini diteliti dengan betul,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Thaipusam di sini malam tadi.
Majlis tersebut dihadiri lebih 5,000 orang termasuk barisan pemimpin Pakatan Rakyat.
Abdul Khalid berkata, kuil kebanggaan masyarakat India perlu dipelihara dengan baik kerana ia terkenal di negara ini termasuk seluruh dunia.
“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dari segi pembangunan yang akan dilakukan,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri melantik lima profesional bagi menganggotai jawatankuasa bebas untuk meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan kawasan sekitarnya.
Ahli-ahli profesional itu adalah Orang Besar Daerah Klang, Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh ; Pakar bedah neuro, Dr M Nachiappan ; bekas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ranita Hussein ; pakar undang-undang pembinaan, Harbans Singh dan Pakar Geologi, Tan Boon Kong.
Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves mendapat tentangan yang hebat kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat.
Mengikut minit mesyuarat Majlis Perbandaran Selayang(MPS), projek tersebut diluluskan pada 2007 ketika pentadbiran Umno-BN dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan