Selasa, 29 Januari 2013

Rais: Pengiklanan menerusi SMS akan dikaji

SINAR HARIAN

Rais Yatim
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim
 
KUALA LUMPUR - Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengkaji sistem pengiklanan menggunakan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ke telefon bimbit bagi memastikan pengguna tidak diganggu dengan pesanan yang tidak dilanggani.
  
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai menyatakan mereka tidak selesa dengan penyebaran iklan menerusi SMS, yang ada kalanya melibatkan pesanan mengandungi unsur-unsur berbentuk seksual.
  
“SMS yang dihantar kepada pengguna telefon seharusnya tidak mengandungi pesanan berbentuk mendapatkan pasaran atau sebagainya,” katanya semasa ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Peneraju Kandungan dan Infrastruktur Komunikasi (NKEA CCI) di sini, hari ini.
  
Rais berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneliti kandungan aduan yang diterima dan mengadakan rundingan dengan syarikat telekomunikasi bagi mencari penyelesaian masalah itu.
  
Pada sidang media sama, Rais juga berkata pihaknya akan menilai semula harga muat turun lagu secara online bagi memastikan pemilik hak cipta dan penyanyi lagu berkenaan mendapat keuntungan berpatutan daripada transaksi tersebut.

Selain itu, Rais juga meminta mereka yang terlibat dalam industri pengiklanan dapat mengetengahkan lebih banyak wajah Malaysia dan Asia pada papan iklan supaya ia seimbang dengan penampilan wajah Eropah di negara ini.
  
"Kami minta supaya industri ini selain beri nilai-nilai pengiklanan, jugadapat memberi nilai budaya dan estatik pada papan tanda mereka dan adalah sesuatu yang wajar untuk kita melihat lebih banyak wajah Malaysia," katanya.
  
Mengulas mengenai mesyuarat NKEA CCI, Rais berkata, lonjakan eksport dalam industri kreatif bagi 2012 mencatatkan peningkatan hasil kepada sebanyak RM12 bilion berbanding RM11 bilion pada 2011.
  
Beliau berkata, perkembangan terbesar dilihat pada industri iklan yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM10 bilion dan peningkatan juga dilihat pada eksport filem terdiri daripada drama, dokumentari dan animasi di mana RM1.85 juta telah dibelanjakan kepada 27 syarikat yang terlibat dalam industri itu.   - Bernama

Tiada ulasan: