Sabtu, 26 Januari 2013

'Pakatan tidak mahu dibuai mimpi manis'

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

M Kulasegaran
M Kulasegaran
 
SHAH ALAM - Meskipun beberapa hasil kajian menunjukkan Pakatan Rakyat (PR) berpeluang untuk menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Pusat, pimpinan parti itu merasakan mereka harus melipatgandakan usaha dan tidak terlalu asyik dibuai mimpi indah.

Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran berkata, walaupun pelbagai ramalan dibuat, ia tidak semestinya benar dan PR harus meningkatkan usaha untuk mendapatkan sokongan padu rakyat kepada perikatan itu.

"Kita rasa ada kemungkinan besar kita boleh dapat lebih daripada majoriti mudah. Dan oleh kerana kemungkinan ini, kita tidak boleh tidur nyenyak. Kita mesti bangun dan kerja untuk ini, pergi seberapa jauh dan seberapa dalam untuk mendapat sambutan rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat ini menambah, senario semasa di peringkat akar umbi menunjukkan rakyat begitu terdesak mahukan perubahan.

Oleh itu katanya, kemenangan tipis yang digembar-gemburkan hanyalah penyedap hati kepada pemerintah pada hari ini yang merasakan mereka masih dapat mengekalkan kuasa.

"Untuk mengatakan Barisan Nasional dan Pakatan akan 'neck to neck', bukan semestinya betul. Media yang digunakan oleh Barisan semestinya mengatakan sedemikian dan masyarakat pun bimbang untuk memberitahu perkara yang betul kepada pemberita atau sesiapa bahawa mereka ingin dan akan sokongan Pakatan," jelas Kulasegaran lagi.

Meskipun begitu katanya, jika keadaan berlaku, PR hanya menang tipis ke atas BN, peluang itu tidak akan disia-siakan untuk membawa perubahan dan menjamin kebajikan rakyat.

"Walaupun majoriti tak kisahlah satu, dua atau sepuluh, kita rasa kita boleh jalankan kerajaan walaupun ada beberapa kesusahan yang kita hendak buat hanyalah satu sahaja iaitu kita mahu Najib menjadi Ketua Pembangkang," tegas beliau.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mengakui perubahan positif dalam arah aliran sokongan rakyat ke atas PR sejak kebelakangan, yang dilihat menerusi "kajian sendiri" dan yang dikendalikan oleh pihak ketiga.

"Hasil kajian termasuk Umcedel, sebuah pusat kajian yang dihormati, baru-baru ini merupakan satu faktor yang menaikkan semangat parti-parti dalam PR... tetapi pada masa yang sama tidak mahu terlalu selesa. Ini satu sifat yang perlu ditangani segera," katanya yang turut mengakui perkembangan semasa boleh menjadi "psikologi timbal balik."

Sehubungan itu kata Shamsul Iskandar, PR mahu memberi tumpuan ke atas pengundi di kawasan pedalaman dan luar bandar.

"Kami akan sampaikan mesej ini... sokongan yang semakin meningkat kepada pengundi luar bandar agar terus menyokong PR," kata beliau lagi.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yakin PR dalam mengambil alih Putrajaya dengan kemenangan yang agak selesa.

"Saya percaya perbezaan yang agak besar iaitu di antara 20 hingga ke 30 kerusi. Saya yakin berdasarkan 'mood' dan momentum yang ada, sebenarnya Barisan Nasional akan hilang kuasa," katanya.

Menurut Mahfuz, soal kemenangan dengan majoriti besar atau mudah adalah perkara kedua ketika ini kerana tumpuannya ialah untuk menang dan membawa perubahan.
"Yang pasti kemerosotan kepada BN itu berlaku. Kalau menang tipis pun, ia satu kemerosotan kepada mereka," katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika temu bual bersama Sinar Harian Online dan Sinar Harian Rabu lalu menyatakan keyakinannya PR akan menang dengan jumlah kerusi yang "tidak terlalu tipis."

Hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan mustahil untuk BN meraih majoriti kerusi dua pertiga pada PRU13 berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini dan perkembangan semasa.

Menurut Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman, Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan mengekalkan status quo.

Minggu lalu, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian meramalkan BN akan menang tetapi kerusi miliknya kemungkinan akan mengalami penurunan.

Pendapat sama sebelum itu pernah diutarakan oleh Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri bahawa BN akan menang sekitar 120 kerusi di mana menyaksikan majoriti yang semakin mengecil.

Rakannya,  penganalisis politik veteran, Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid pula meramalkan BN ada kelebihan untuk menang PRU13, walau bagaimanapun, ia belum terjamin bergantung bagaimana kedua-dua, BN dan PR berjaya menawan hati pengundi atas pagar.

Tiada ulasan: