Ahad, 28 Oktober 2012

Pengalaman kahwin tujuh kali

MALAYSIA CHRONICLE


SEPANJANG bergelar pelawak, pelakon serta pengarah filem sejak 35 tahun lalu, dua perkara yang sering diperkatakan tentang A.R. Badul ialah bakat seni dan kisah perkahwinannya.

Tidak dinafikan anak kepada pelawak Allahyarham A.R. Tompel ini memang berbakat besar. Ramai peminat tahu dia banyak mewarisi bakat seni bapanya itu. Bagaimanapun dalam alam perkahwinan pula tidak ramai artis tempatan yang boleh melawan 'rekod peribadi' seperti Badul.

Dia yang kini berusia 63 tahun, pernah merasai pengalaman gagal dalam alam perkahwinan sebanyak enam kali. Namun, Badul tidak pernah berasa putus harapan dan dia masih juga dipertemukan jodoh apabila mendirikan rumahtangga buat kali ketujuh baru-baru ini.

Anak kelahiran Singapura ini sebenarnya sudah lali dengan cemuhan masyarakat di sekelilingnya kerana pernah berkahwin banyak kali dan sering gagal di tengah jalan. Isteri hasil perkahwinan Badul yang terbaru atau ketujuh yang hanya mahu dikenali sebagai Maiza mempunyai perbezaan usia 31 tahun dengannya.

"Sudah jodoh saya macam ini saya kenalah terima. Saya bersyukur kepada Allah kerana masih ada jodoh walaupun pada usia sekarang ini. Bukan sahaja sekarang tetapi sejak dulu lagi saya sudah biasa dengan cemuhan orang yang mengata macam-macam tentang diri saya. Saya malas hendak layan.

"Sampaikan ada yang kata saya ini seorang playboylah, jenis yang suka kahwin cerailah dan macam-macam lagi. Apa hendak buat, mulut orang saya tidak boleh tutup. Saya terima sahaja apa orang hendak kata. Ini adalah takdir, qada dan qadar saya hidup saya," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie menceritakan pengalamannya itu selepas sidang akhbar pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012. Dia merupakan salah seorang peserta dalam kumpulan Dadidu yang bersaing menerusi pertandingan lawak jenaka anjuran Astro Warna mulai 16 November ini.

Jelas bapa kepada tujuh orang anak dan tujuh cucu ini, alam perkahwinan seakan-akan terdapat persamaan dengan kerjayanya sebagai pelakon. Contohnya dalam filem Hantu Siang yang dilakonkannya pada tahun 1986 sedikit sebanyak ada kaitan dengan alam perkahwinannya yang pernah melalui pelbagai jenis pancaroba.

"Dalam banyak-banyak filem yang saya telah lakonkan, saya paling puas hati berlakon dalam filem Hantu Siang. Filem itu saya yang arahkan dan skripnya pula ditulis oleh Osman Abadi. Cerita dalam filem itu ialah tentang watak Badul yang berkahwin dengan empat orang perempuan.

"Setiap satu perkahwinan itu mempunyai masalahnya sendiri. Boleh dikatakan 40 peratus daripada jalan cerita filem itu seperti kisah-kisah perkahwinan saya sebelum ini. Jalan cerita dalam filem itu juga macam ada kena mengena dengan diri saya," ujarnya.

Kekal popular

Tidak dinafikan pada era 1980-an, Badul boleh dikatakan pelakon komedi tanah air yang paling popular ketika itu. Banyak filem komedi yang menampilkannya sebagai hero dan turut menggunakan nama dan popularitinya menjadi judul filem.

Antaranya filem Panglima Badul, Tuan Badul dan Si Badul yang sangat popular pada zaman tersebut. Meskipun era kegemilangannya itu sudah lama berlalu tetapi anak kedua daripada tiga beradik ini boleh berbangga kerana sehingga kini dia masih menerima tawaran berlakon.

Dia yang dilahirkan di Jalan Ampas, Singapura dan dibesarkan di Parit Jawa, Muar, Johor mempunyai banyak rahsia mengekalkan populariti dalam bidang seni yang menjadi kerjayanya sejak 1977 itu.

"Saya sejak dulu sudah biasa menerima bayaran yang sedikit. Dalam hal ini, saya tidak mahu terlalu berkira atau terlalu meletakkan bayaran yang tinggi untuk berlakon. Bukannya sekarang, malah sejak dulu iaitu semasa zaman kemuncak saya sebagai pelakon dulu pun sama juga.

"Pernah dulu saya hanya dibayar RM5,000 untuk buat kerja pengarahan, berlakon dan menulis skrip untuk sebuah filem. Bayangkan saya buat tiga kerja dengan bayaran sebanyak itu. Pada tahun 1980-an saya juga pernah menjayakan konsert Malam A.R. Badul di Stadium Negara dengan menampilkan pelawak seperti R. Jaafar, Param, Yusni Jaafar dan Sukarni Jaafar. Saya hanya mendapat bayaran RM600 sahaja.

"Sedangkan itu adalah konsert yang menggunakan nama saya. Sebab itu, kalau saya terlalu meletakkan harga bayaran, mungkin nama Badul sudah lama lenyap dalam bidang lakonan di negara ini. Bagi saya, apa juga tawaran yang datang dan asalkan harganya berpatutan itu adalah rezeki," katanya.

Tambah bekas juara Bakat TV 1975 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini lagi, dia mengambil sikap sedemikian kerana pernah melalui kehidupan yang agak sukar sewaktu zaman remajanya. Sebelum bergelar artis, Badul pernah melakukan pelbagai jenis pekerjaan seperti menjadi konduktor bas.

Namun, selepas menceburi bidang seni Badul mendapati rezekinya datang mencurah-curah dan kehidupannya juga lebih baik berbanding sebelum itu.

"Saya mula berhijrah dari Singapura ke Kuala Lumpur pada 1960-an. Pada tahun 1973 saya mendapat kewarganegaraan Malaysia. Sewaktu mula datang ke Malaysia saya bekerja sebagai konduktor bas Mara di Klang, Selangor dengan gaji RM3 sehari untuk kerja selama lapan jam.

"Saya sempat bekerja sebagai konduktor bas selama hampir setahun. Selepas itu, saya bekerja dengan Felda dengan mendapat gaji RM250 sebulan dan tidak lama selepas itu saya menyertai Bakat TV dan muncul juara pada 1975.

"Kemenangan itu merupakan langkah awal saya terbabit secara serius dalam bidang seni sehinggalah kini. Saya bersyukur kerana selepas 35 tahun saya masih lagi ditawarkan berlakon dan berlawak," ujarnya lagi.

Penyertaannya dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 bergandingan dengan dua lagi rakannya iaitu Md. Arif Samsudin dan Djohan Abdul Rahman menerusi kumpulan Dadidu membuktikan bakatnya dalam bidang lawak jenaka masih diterima para peminat. Dua rakannya itu berasal dari Singapura.
-utusan

Tiada ulasan: