Ahad, 9 September 2012

Susulan bas diserang, PKR mahu temu IGP

Wartawan Sinar Harian

Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
Bas PKR
Bas yang digunakan PKR pada program Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah kali kedua. -Keadaan bas PKR yang disimbah cat. - Foto ihsan dari Facebook Anwar Ibrahim
 
SHAH ALAM - Kepimpinan PKR berhasrat mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar susulan dua insiden serangan dan kekasaran ke atas bas Jelajah Merdeka Rakyat kendalian parti itu.

Kejadian kedua membabitkan bas itu disaksikan di Jasin, Melaka semalam.

"Untuk menghentikan kejadian ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution (Ismail) akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk bertemu dan memastikan polis memberikan perhatian terhadap amalan yang mengancam demokrasi negara ini," kata Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bas Jelajah Merdeka Rakyat PKR yang disertai Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan lain parti itu sekali lagi diserang semalam ketika siri lawatan di Jasin, Melaka.

Ini berikutan serangan ke atas bas sama di Kota Bharu minggu lepas.

"Sebelum itu, taktik samseng sama telah digunakan terhadap pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat.

"Ini termasuk serangan terhadap Datuk Seri Anwar di Sembrong Johor, kecederaan warga emas di Lembah Pantai apabila terkena batu yang dilontarkan terhadap Nurul Izzah Anwar dan pelbagai lagi kejadian lain.

"Pun begitu, sekalipun pelbagai laporan polis dibuat, sehingga hari ini pihak polis dilihat tidak serius dalam mengambil tindakan dalam hal ini," kata beliau.

Katanya, Datuk Seri Najib Razak, selaku Perdana Menteri terus diam membisu, seolah-olah memberikan lampu hijau untuk gejala samseng ini terus berleluasa.

Tiada ulasan: