Khamis, 27 September 2012

MPSJ Peruntuk Hadiah Kepada Pembayar Cukai Berhemah

72 views


SUBANG JAYA  : Sempena sambutan Ulangtahun Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ke 15, pihak MPSJ mengadakan program cabutan bertuah bagi menghargai kira-kira 254, 000 pembayar cukainya.

Hari ini, seramai 16 orang diraikan dalam satu Majlis Penyampaian Hadiah Pembayar Cukai Bertuah yang diadakan di Laman Kenanga,MPSJ pagi tadi.

Kesemua hadiah disampaikan Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi diiringi Timbalannya, Abdullah Marjunid sejurus mereka selesai menghadiri Mesyuarat Penuh MPSJ.



“Mereka ini merupakan antara 40 pembayar cukai yang berjaya melaksanakan pembayaran cukai taksiran mengikut tempoh masa ditetapkan, tiada tunggakan serta mempunyai rekod pembayaran yang baik.

“Inisiatif ini juga sebagai galakan kepada para pembayar cukai untuk membayar secara ‘on time’,” ujar Asmawi dalam sidang medianya.

Para pemenang dipilih daripada 166, 000 akaun dalam satu majlis cabutan bertuah yang diadakan sewaktu Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan pada 19 September lalu.

Antara hadiah ditawarkan ialah sepuluh unit Samsung Tab, sepuluh unit telefon bimbit Samsung, empat unit televisyen LCD, dua unit peti sejuk, empat unit kamera serta sepuluh unit basikal.

Dalam pada itu, Asmawi memaklumkan sehingga Ogos 2012, sebanyak RM 151.96 juta cukai taksiran berjaya dikutip, kira-kira 87 peratus daripada sasaran MPSJ bagi tahun ini iaitu sebanyak RM 175 juta.




Tiada ulasan: