Khamis, 27 September 2012

Pengundi Cina: Tangan Najib terlalu kotor


Shahbudin Husin

 

Najib secara umumnya cuba melakukan pelbagai perkara bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN selepas tsunami yang melanda pada 2008, namun sehingga ini semua usaha yang dilakukannya bagaikan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Ada saja isu yang menyebabkannya dipertikai dan dipandang serong oleh rakyat.Beliau melakukan pelbagai transformasi serta menabur banyak janji kepada rakyat. Tetapi nampaknya semakin banyak janji yang ditabur, makin kurang pula sokongan rakyat yang diterimanya.

Generasi muda dan golongan profesional masih kuat memihak kepada PR. Kakitangan kerajaan dan swasta juga seperti terbahagi dua, masih ramai yang sayang pada UMNO tetapi yang semakin menyampah juga makin membesar. Pengundi bukan Melayu khususnya Cina seperti sudah menetapkan pendirian yang kukuh untuk menumbangkan BN.

Siapa lagi harapan BN? Pergantungan BN nampaknya hanyalah kepada generasi tua dan orang-orang kampung yang tidak begitu terdedah kepada dunia maya. Ahli UMNO pula, meskipun mahu melihat UMNO terus kekal berkuasa tetapi ramai juga yang masih bersikap tunggu dan lihat. Terdapat juga ahli UMNO yang merasakan lebih baik UMNO kalah untuk PRU 13 ini supaya ia belajar daripada kesilapan dan mampu bangkit dengan lebih baik selepas itu.

Ramai yang membandingkan kedudukan UMNO dalam PRU 13 seperti tentera Islam dalam peperangan Uhud. Kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud adalah kerana ketamakan berebut harta rampasan perang serta lalai dalam perjuangan. Kerana kalah, tentera Islam belajar daripada banyak kesilapan dan terus mencipta banyak kejayaan selepas itu.

UMNO juga begitu keadaannya. Setakat kalah di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak mampu memberi apa-apa pengajaran kepada kepimpinannya. Pemimpin UMNO masih tergolong kelompok yang rakus mengumpul kekayaan, mengamalkan rasuah, mempamer kekayaan dan kurang mempedulikan rakyat.

Ramai yang percaya, UMNO hanya akan berubah apabila ia kalah dalam PRU 13 ini. Pengajaran Perang Uhud hanya akan meresap ke dalam jiwa sanubari pemimpin UMNO jika ia kalah dalam pilihanraya ini dan menjadi pembangkang pula.

Untuk masa depan dan kelangsungan perjuangan UMNO bagi tahun-tahun mendatang, kalah dalam PRU 13 adalah ubat paling mujarab untuk memulihkan kepercayaan rakyat. Hanya setelah kalah, kebanyakan pemimpin UMNO yang selama ini menjadi beban kepada parti tahu istilah berundur. Setelah diganti dengan pemimpin baru yang benar-benar bersih dan diyakini rakyat, barulah UMNO ketika dapat diterima kembali oleh rakyat.

Sebagaimana Najib, beliau cuba melakukan pelbagai perkara. Setiap kali membua mulut, ia mesti berupa janji dan ungkapan transformasi. Namun kesannya tetap juga tiada. Sementara Mahathir meyakini bahawa Najib hanya mampu mencapai kemenangan yang sangat tipis, lebih tipis daripada pencapaian Pak Lah pada 2008 iaitu 140 kerusi Parlimen, ramai juga beranggapan kedudukan antara BN dan PR sebenarnya adalah 50-50.

Dengan kedudukan itu, Najib bila-bila boleh tumbang. Tambahan pula, semakin hari semakin banyak isu yang membelit dirinya.

Kedudukan BN sekarang sebenarnya hanyalah bergantung kepada talian hayat daripada kedudukan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak saja. Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan BN memenangi 24 kerusi pada 2008 lalu sementara Sarawak pula mempunyai 31 kerusi dan BN memenangi 30 daripadanya dalam pilihanaraya lalu.

Ini bermakna daripada 140 kerusi yang menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri dan BN terus berkuasa hasil warisan Pak Lah, 54 daripadanya adalah ehsan daripada Sabah dan Sarawak. Tanpa Sabah dan Sarawak, kekuatan BN hanyalah 86 kerusi sahaja sedangkan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti paling tipis, memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

Dalam piliharaya 2008 lalu, PR memenangi 82 kerusi tetapi selepas itu beberapa orang telah memilih untuk menjadi katak dan menjadi penyokong BN. Tetapi sehingga ini 82 kawasan Parlimen itu masih lagi menjadi kubu kuat PR. Tidak terdengar khabar bahawa BN boleh menang di Kulim Bandar Baru atau Bayan Baru meskipun Zulkifli Nordin dan Zaharin Hashim sudah melompat ke kolam yang dijaga penuh mewah oleh Najib. Juga tidak terdengar berita bahawa Ibrahim Ali mampu menjanjikan kemenangan kepada UMNO di Pasir Mas setelah memenanginya atas tiket Pas dalam pilihanraya lalu dan kemudian memilih menjadi Bebas yang mendakap erat tubuh Najib.

Dengan kedudukan yang hampir seimbang itu, di samping kekuatan PR yang makin melebar di Sabah dN Sarawak, kedudukan BN secara teorinya hanyalah tinggal nyawa-nyawa ikan. Tambahan pula kedudukan PR juga makin menonjol di Johor yang selama ini menjadi kubu kuat UMNO. Dengan Pas sudah menghantar Naib Presidennya, Sallahuddin Ayub kembali ke Johor manakala DAP pula dijangka akan mempertaruhkan Lim Kit Siang untuk bertanding di Johor, kejutan pasti berlaku di negeri itu.

Tambahan pula beberapa demontasi dan himpunan anjuran PR di Johor kebelakangan ini dengan kehadiran mencecah ribuan orangramai yang hadir, ramai yang menjangkakan ianya adalah petanda awal UMNO akan hilang cengkamannya di negeri itu. Berbanding sebelum ini, demonstrasi anjuran pembangkang di Johor tidak pernah mendapat sambutan seperti itu.

Sebahagian daripada kegagalan UMNO dan BN menarik sokongan rakyat adalah kerana ketidakyakinan rakyat terhadap Najib sendiri sebagai pemimpin. Najib bekerja siang malam, melaung pelbagai transformasi dan menabur janji silih berganti tetapi hakikatnya sokongan rakyat tidak juga kunjung jelma.

Selain UMNO bukan lagi produk yang baik, perangai Najib dan sebahagian besar pemimpinnya menambahburukkan lagi keadaan itu. Najib cuba melakukan pelbagai usaha tetapi masalahnya unsur-unsur rasuah, skandal, penyelewengan, campurtangan dalam pemberian projek, amalan kronisme dan nepotisme serta kelemahan dalam mengurus kerajaan masih menjadi isu yang diperkatakan setiap hari oleh rakyat.

Bermula dengan peringkat awal menjadi Perdana Menteri lagi beliau sudah dikaitkan dengan isu pembunuhan Altantuya serta komisyen kapal selam sebanyak RM500 juta yang melibatkan rakan karibnya Razak Baginda, isu yang melingkari Najib sebenarnya tidak pernah padam kemudiannya.

Selepas itu muncul pula isu penganugerahan beberapa projek kepada rakan karibnya seperti projek email 1Malaysia, sambungan LRT Ampang, pembinaan semula Kem Sungai Besi dan pelbagai lagi. Pemberian sebahagian besar projek mega dan penswastaan kepada taikun Syed Mokhtar Albukhary juga menjadi isu di kalangan rakyat, seolah-olah hanya beliau saja Melayu yang berkebolehan di negara ini.

Selain isu-isu tersebut, imej Najib jiga tercemar dengan karenah isterinya yang suka berbelanja mewah, boros dan seperti ingin menumpang kuasa Perdana Menteri. Berselang seli dengan itu, muncul pula isu belanja mewah majlis pertunangan anak perempuan dan sambutan hari jadinya serta sikap berfoya-foya anak lelakinya.

Semua itu akhirnya menjadikan Najib kelihatan semakin merudum ratingnya. Bagi pengundi muda, golongan profesional dan bukan Melayu, isu-isu yang melibatkan rasuah, skandal dan pengumpulan kekayaan di kalangan pemimpin adakah sesuatu yang sukar untuk mereka terima. Lebih tidak dapat diterima jika seorang Perdana Menteri sendiri dikaitkan dengan isu-isu seperti itu.

Pemimpin bagi mereka, mestilah bersih dan dipandang bersih selain sentiasa mengutamakan rakyat dalam susun atur langkah perjuangan yang dilalui setiap hari. Tidak bermoral seseorang pemimpin meneriakkan kata-kata perjuangan sedangkan aturan yang disusun semuanya untuk kepentingan peribadi dan kroni semata.

Dalam hal ini, saya teringat kata-kata seorang pemimpin masyarakat NGO Cina yang menghuraikan sebab-sebab penolakan pengundi Cina terhadap Najib dengan menyatakan, “walaupun Najib melakukan pelbagai perkara untuk menarik hati rakyat tetapi masalah beliau ialah tangannya kelihatan terlalu kotor dan itulah punca kegagalannya”.

Dengan kata lain, selagi Najib tidak membersihkan imejnya yang kelihatan kotor itu, selagi itulah segala usaha transformasi hanya sia-sia saja.

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan: