Jumaat, 28 September 2012

Muhyiddin: Kelas peralihan di SMK dijangka dimansuh menjelang 2017

SINAR HARIAN
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk melaksanakan kurikulum Bahasa Melayu yang sama dengan Sekolah Kebangsaan untuk pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.
  
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata dengan peningkatan penguasaan Bahasa Melayu murid SJKC dan SJKT, dijangkakan kelas-kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara akan dapat dimansuh menjelang 2017.
  
Beliau berkata cadangan yang akan dilaksana melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dapat memendekkan tempoh persekolahan murid-murid SJKC dan SJKT yang memilih untuk belajar di SMK.
  
"Kementerian akan memastikan murid-murid SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran bahasa Melayu diberi sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu.
  
"Selain itu, kementerian juga akan memastikan pelaksanaan kurikulum ini tidak membebankan murid-murid SJKC dan SJKT, yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama untuk mata pelajaran lain," katanya ketika menutup Festival Bahasa dan Sastera 2012 di sini hari ini.

Festival tiga hari itu diadakan khusus untuk murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di seluruh negara.
  
Acara forum, pidato, bercerita, membaca puisi, menulis dan menyanyi dalam bahasa kebangsaan dianjurkan sepanjang festival itu.
  
Muhyiddin berkata kementerian juga akan menyediakan latihan yang secukupnya kepada guru-guru bahasa Melayu di SJKC dan SJKT supaya mereka dapat menyampaikan pengajaran dengan baik dan berkesan.
  
Beliau berkata tumpuan akan diberi kepada keupayaan guru untuk mengamalkan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid bagi memenuhi keperluan murid yang berbeza.
  
"Sekiranya perlu, guru bahasa Melayu tambahan akan diberikan latihan khusus bagi mengelak masalah kekurangan guru di SJKC dan SJKT.
  
"Menerusi kombinasi dua aspek ini, iaitu meningkatkan standard kurikulum dan memberikan sokongan tambahan kepada murid, kementerian yakin penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid di SJKC dan SJKT akan dapat dimantapkan lagi," katanya.
  
Muhyiddin berkata kerajaan turut menggalakkan setiap murid di negara ini menguasai bahasa asing sebagai nilai tambah, khususnya untuk meningkatkan pemerolehan ilmu dan memenuhi keperluan kerjaya. - Bernama

Tiada ulasan: