ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA melalui penyerahan memorandum ini mendesak agar Gabenor Bank Negara Malaysia Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Dr. Zeti Akhtar Aziz segera memenuhi tuntutan pada perkara-perkara berikut :-
1. MENJAWAB DAN MENDEDAHKAN FAKTA SEBENAR ISU KERUGIAN AKTIVITI PERTUKARAN PASARAN PERDAGANGAN ASING (FOREX)
Selaras dengan asas perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam perihal keadilan dan kebenaran serta pembelaan kepentingan hak maklumat rakyat, maka adalah menjadi kebertanggungjawaban pihak Bank Negara Malaysia dijawab dan didedahkan fakta sebenar dan sepenuhnya pada yang berikut : -
1.1 Menjelaskan isu kerugian RM5.7 bilion Bank Negara Malaysia (BNM) melalui dagangan pertukaran asing (Forex) adalah sepertimana yang dinyatakan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Isnin 24 September 2012;
1.2 Siapakah mengarahkan Tan Sri Dato’ Jaffar Hussein menghentikan serta merta amalan perniagaan tukaran matawang (Forex) oleh Malaysia
1.3 Adakah berlakunya penyelewengan matawang secara besar-besaran dengan penglibatan atau sebarang campurtangan atau penglibatan penyembunyian fakta dan situasi aktiviti pertukaran perdagangan pasaran asing oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri 1981-2003) dan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan 1984-1991) sewaktu perkara ini dimulakan sebelum tahun 1990, dan akhirnya telah merugikan dana negara sebanyak RM 5.7 Bilion yang akhirnya menyebabkan Tan Sri Dato’ Jaffar Hussein meletakkan jawatan;
1.4 Memberikan penjelasan tentang mengapa dan kenapa dagangan tukaran matawang ini dijalankan, dan mengesahkan nilai kerugian RM 5.7 Billion terutama aktiviti dibawah Seksyen Forex seliaan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
2. MEMPERJELASKAN KEPADA MEDIA DAN RAKYAT MALAYSIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA juga mahu sekiranya penjelasan fakta Gabenor Bank Negara berkenaan isu penglibatan kerajaan Malaysia dalam aktiviti spekulasi pertukaran perdagangan matawang asing yang telah mendatangkan kerugian pada tahun 1992 sepertimana dilaporkan dalam laporan tahunan pada 1993 ini adalah bertentangan dengan apa yang telah disebutkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai semasa sesi soal jawab perbahasan di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia (jawapan bahas beliau yang menyatakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pihak yang bertanggungjawab) pada Isnin 24 September 2012 lalu, maka perlulah segera membuat sidang media dan kenyataan rasmi Bank Negara untuk pengetahuan khalayak umum.
Ini adalah bagi membersihkan nama baik Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan Malaysia ketika itu (1991-1998) sebelum dipecat pada 1998, telah didakwa kononnya terlibat dan bertanggungjawab dalam aktiviti pertukaran perdagangan matawang asing sehingga menyebabkan kerugian tersebut.
Walhal fakta sebenar sepertimana yang telah dijelaskan dengan yakinnya penuh tanggungjawab oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Parlimen pada beberapa hari lalu (Isnin 24 September 2012) adalah sebenarnya dilakukan oleh Menteri Kewangan sebelumnya iaitu Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan 1984-1991) atas restu arahan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia dengan pengendalian aktiviti pertukaran pasaran asing itu dibawah Seksyen Forex seliaan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (yang kemudiannya selepas itu dinaikkan pangkat menjadi Menteri Kewangan Kedua, dan kini menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyelia Unit Perancang Ekonomi).
Sepertimana AMK MALAYSIA yakini, penjelasan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku mantan Menteri Kewangan Malaysia adalah penuh tanggungjawab dan merupakan fakta sebenar-benarnya.
Ini terutamanya dalam usaha dan keprihatinan beliau pada tahun 1993 selaku Menteri Kewangan kepada pihak Bank Negara dibawah Tan Sri Dato’ Jaffar Hussein (Gabenor Bank Negara sehingga Mei 1994), dengan mengarahkan agar dihentikan aktiviti dagangan matawang asing yang semata-mata mendatangkan kerugian besar dana negara bernilai RM 5.7 Bilion itu.
Maka dalam memberi keyakinan dan kebenaran isu ini kepada rakyat, menjaga integriti fakta soal jawab perbahasan Dewan Rakyat Parlimen Malaysia serta seterusnya mencabar dan memastikan pihak dalang sebenar yang tidak bertanggungjawab dan tidak mahu mengaku melibatkan negara Malaysia yang kita cintai dan kewibawaan institusi Bank Negara Malaysia dalam spekulasi pertukaran pasaran matawang asing yang telah hampir merosakkan ekonomi negara ketika itu, perlulah didedahkan kepada umum bagi tindakan perundangan dan penilaian moral terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Sekali lagi adalah diharapkan agar pihak Bank Negara Malaysia bertindak profesional dengan memberi respon penuh dan lengkap sepertimana yang telah dikemukakan dalam memorandum AMK MALAYSIA ini bagi kebaikan dan maruah rakyat terutama Bank Negara Malaysia sendiri.
Sekian, Terima kasih.
SHAMSUL ISKANDAR MD. AKIN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan