Khamis, 27 September 2012

Membina keseimbangan ekonomi untuk semua

Oleh Liew Chin Tong

Barisan Nasional telah menyambut “55 tahun” pencapaian mereka dengan mempropagandakan “janji-janji mereka yang dipenuhi” menggunakan slogan Janji Ditepati dalam jelajah Perdana Menteri dan hari kebangsaan 2012 baru-baru ini.

Sesiapa pun akan menyangka kerajaan tentu mempunyai strategi jangka panjang untuk negara berdasarkan pengalaman mentadbir sejak sekian lamanya. Malangnya, selain berhujah bahawa i) pertukaran kerajaan tidak baik  untuk ekonomi dan ii) adalah lebih baik untuk memilih ‘syaitan’ yang sudah sedia dikenali, BN tidak banyak menawarkan status quo yang melangkaui amalan mereka.

Dasar ekonomi BN hari ini boleh disimpulkan sebagai berikut:

1) Mengkritik dasar ekonomi Pakatan Rakyat sebagai populis (tetapi tidak menawarkan sebarang strategi dan dasar ekonomi yang teguh)
2) Memberi lebih banyak imbuhan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang (yang menelan belanja berbilion ringgit);
3) Bersiap sedia memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selepas pilihan raya umum untuk menampung semula perbelanjaan hadiah-hadiah yang diberikan sekarang (dan GST bermaksud setiap rakyat Malaysia akan dikenakan cukai).

Imbuhan pilihan raya BN dan keperihatinan Pakatan terhadap rakyat

Dalam belanjawan 2012, BN telah menabur umpan pilihan raya mereka seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebenarnya merupakan respon kepada dasar yang diperkenalkan Pakatan Rakyat.

Pada bulan Ogos 2011 Pakatan Rakyat telah mengumumkan Belanjawan 2012 nya dengan mensasarkan untuk  membantu keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM3,000. Sebagai respon terhadap ide pakatan Rakyat, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kemudiannya mengarahkan Pemandu untuk merangka sebuah pelan yang akhirnya menjadi bantuan RM500 untuk seisi rumah.

Sebagai perbandingan, dasar Pakatan Rakyat merupakan penyelesaian kepada masalah ekonomi rakyat Malaysia yang telah dirancang dengan teliti.

Di bawah urustadbir perekonomian BN, ekonomi Malaysia hari ini cuma memenuhi kepentingan sekumpulan kecil kroni-kroni sehingga menjejaskan ekonomi rakyat biasa.

• 60% rakyat Malaysia hidup dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan malah 40% daripada mereka berpendapatan di bawah RM1,500;

• Hutang seisi rumah adalah 77% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); apa yang lebih buruk, hutang isi rumah negara ini adalah 140% kepada pendapatan boleh guna, kedua teringgi di Asia selepas Jepun;

•33% pekerja memperoleh pendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

Situasi sebegini begitu meruncing dan memerlukan perhatian secara holistik di peringkat nasional. Ia merupakan krisis besar yang telah disembunyikan dari pengetahuan umum.

Dasar ekonomi yang dirangka sepatutnya memberi tumpuan 60 paratus usaha menambah baik pendapatan dan pendapatan boleh guna bermula diperingkat bawah.

Ide pokoknya apabila rakyat biasa mempunyai lebihan wang, mereka tidak akan menyimpannya di bank Swiss seperti kroni-kroni kerajaan; kumpulan berpendapatan rendah akan membelanjakan wang, dengan itu ia akan meningkatkan ekonomi yang turut memberi manfaat kepada perniagaan-perniagaan melalui kesan berganda pengembangan permintaan agregat. Ia akan memulihkan ekonomi dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat dalam ekonomi tersebut.

Krisis ekonomi global menjadikan Malaysia untuk memberi penekanan dan fokus dalam  memperbaiki pendapatan dan pendapatan boleh guna rakyat. Eksport ke Amerika Syarikat dan Eropah adalah aktiviti ekonomi paling menguntungkan buat Malaysia dan negara-negara Asia lain untuk tempoh empat dekad yang lalu. Pengucupan nilai upah dan matawang dijadikan sebuat alat dan dasar yang lazim untuk memastikan hasil eksport kekal murah dan kemampuan untuk bersaing.

Walau bagaimanapun, negara-negara maju kini berhadapan dengan kadar pengangguran yang tinggi dan ia memberi makna penyusutan kuasa membeli.

Tawaran Pakatan untuk rakyat 

Malaysia dan negara-negara Asia yang lain perlu memastikan rakyat mempunyai wang yang mencukupi agar rakyat mampu mendapatkan keperluan mereka sendiri untuk mengekalkan kedudukan ekonomi yang aktif.

Untuk jangka masa yang panjang, jurang pendapatan yang luas dengan tekanan ekonomi terhadap sebahagian besar masyarakat akan memberi ancaman terhadap mereka sendiri.

Justeru, Pakatan Rakyat menawarkan:

• Gaji minimum RM1,100 (BN hanya mengumumkan RM900 sebulan tetapi masih belum dilaksanakan);
• Komitmen untuk mengurangkan pekerja asing tidak berkemahiran yang menjadi punca tawaran gaji rendah dan menghalang ke arah penggunaan teknologi canggih.
• Dengan melalui bantuan berskala besar kepada industri dan perniagaan untuk menggalakkan inovasi, meningkatkan teknologi dan automasi untuk mengalihkan ekonomi daripada kebergantungan terhadap buruh asing tidak berkemahiran.

Pakatan Rakyat juga menawarkan dasar yang pelbagai bagi meningkatkan penglibatan pekerja wanita daripada 46% kepada 60% setahun. Secara umumnya, sebuah keluarga yang mempunyai dua bahagian pendapatan mempunyai pendapatan isi rumah yang tinggi.

Sebahagian besar dari kebanyakkan rakyat Malaysia terutama yang berpendapatan rendah dari kelas pertengahan terpaksa dihabiskan untuk pengangkutan, perumahan, pendidikan, kesihatan dan keselamatan yang berpunca dari kemudahan awam yang teruk dan dasar awam yang ketinggalan. Memberi keutamaan kepada perbezaan dasar dalam perkara ini akan membantu pendapatan boleh guna rakyat biasa. Untuk itu, Pakatan Rakyat mencadangkan:

• Pengangkutan – untuk mengurangkan duti eksais kereta bagi mengurangkan harga kenderaan tersebut secara langsung akan mengurangkan beban hutang disamping memperbaiki pendapatan boleh guna rakyat Malaysia; Pakatan Rakyat juga akan menumpukan kepada pembangunan sistem pengangkutan awam dalam model berbeza berdasarkan penggunaan bas dan bas alihan cepat (BRT) bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

• Perumahan – selain mengurangkan spekulasi, konsep baru diperkenalkan seperti perumahan sosial bagi golongan miskin dimana ia tidak memerlukan mereka untuk memiliki rumah, perkongsian saksama untuk seisi rumah bagi golongan kelas pertengahan dan pendekatan lain akan diperkenalkan untuk memastikan wujudnya rumah bagi mereka yang memerlukan serta mengurangkan beban hutang.

• Pendidikan – pendidikan universiti percuma agar anak muda tidak terbeban dengan hutang sebelum memulakan kerjaya mereka.

• Kesihatan – untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan kesihatan awam dan mensyaratkan syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) tidak memiliki saham hospital swasta dengan tujuan mengurangkan jurang antara penjagaan kesihatan swasta dan awam.

• Keselamatan – untuk memastikan komitmen penuh polis untuk membanteras jenayah.

Menghapuskan monopoli, kartel-kartel dan oligopoli akan turut memainkan peranan memperbaiki pendapatan boleh guna rakyat biasa. Memansuhkan tol secara berperingkat, menghapuskan kawalan kroni-kroni ke atas siaran televisyen berbayar, beras, gula dan lain-lain dimana ia akan menyumbang kepada pendapatan boleh guna yang lebih baik.

Adalah jelas bahawa Pakatan Rakyat menawarkan tawaran untuk kehidupan yang lebih baik buat kita semua. BN mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu yang baik untuk negara ini tetapi pemimpinnya dilihat sekadar memilih untuk menjaga kepentingan ahli keluarga dan kroni-kroni mereka sahaja.

Tanpa menawarkan sebarang ide dan daya usaha baru, BN sekarang hanya mampu menawarkan hadiah-hadiah berbentuk imbuhan tunai. Selepas pilihan raya umum (dalam masa beberapa bulan lagi), setiap daripada kita mungkin berhadapan dengan kemungkinan-kemungkinan yang lebih buruk.

Siapakah yang akan memufliskan Negara?

BN telah menyerang dasar Pakatan Rakyat secara berterusan dengan dakwaan bahawa pkatan menggunakan pendekatan populis tanpa tanggungjawab fiskal, dan sekiranya ia dilaksanakan, dasar tersebut bakal memufliskan negara. Ini adalah propaganda lazim daripada pemimpin UMNO dan BN sejak berdekad lamanya memandangkan mereka mengawal media.

Salah satu objektif dasar Pakatan yang utama adalah untuk melihat keluarga di Malaysia hidup dengan pendapatan isi rumah melebihi RM4,000 sebulan menjelang penggal terakhir PR sebagai kerajaan persekutuan. Objektif RM4,000 sebulan itu bukan jaminan pendapatan atau gaji minima.

PR sedang mengasah semula ekonomi negara dan beralih daripada obsesi dan amalan BN melalui kuota kaum dan pengagihan kekayaan hanya untuk sekumpulan kecil sahaja. Pakatan beriltizam membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kelompok 60% tanpa mengira kaum untuk hidup dengan bermaruah dan berkualiti.

Bagaimana rakyat akan menderita di bawah BN: Berjaga-jaga dengan GST

BN tidak mempunyai penyelesaian kewangan kepada hutang negara yang semakin bertambah.

Kerajaan BN mendakwa sedang “mendidik” rakyat mengenai Cukai Barangan Dan Perkhidmatan yang akan dilaksanakan. Ia juga telah mengisyaratkan kepada pasaran kewangan bahawa cukai yang tidak popular itu akan dilaksanakan pada 2014. Sudah kedengaran juga khabar-khabar tentang pemotongan subsidi yang bermakna harga minyak akan meningkat.

Pakatan tidak menyokong peningkatan harga harga minyak melainkan sistem pengangkutan awam adalah memuaskan. Kekurangan pengangkutan awam yang memuaskan menjadikan kenderaan persendirian sebagai satu keperluan.

Kajian telah menunjukkan yang kenaikkan harga minyak menggalakkan rakyat bertukar menggunakan motosikal daripada kereta dan kesannya, peningkatan kadar kematian melibatkan motosikal. Pembuat dasar harus menyedari implikasi dan kesan keputusan mereka terhadap rakyat biasa.

Mereka yang memperkenalkan GST sebagai penyelesaian untuk memastikan lebih ramai rakyat membayar cukai dan menyelesaikan masalah defisit sebenarnya hidup di dalam dunia mereka sendiri. Mereka mendakwa bahawa bilangan rakyat Malaysia yang membayar cukai terlalu sedikit.

Sudah pasti terdapat mereka yang lari darimembayar cukai namun kita mempunyai undang-undang memadai untuk menguruskan mereka. Walaubagaimanapun, pendapatan yang terlalu rendah untuk melayakkan mereka membayar cukai menjadi penyebab mengapa terdapat ramai yang tidak membayar cukai.

Mengenakan cukai baru kepada kumpulan berpendapatan rendah adalah satu dasar yang buruk. Cukai yang regresif dan memukul rata seperti GST akan menyusahkan kelompok 60% rakyat. Keseluruhan struktur ekonomi tidak akan menjadi lebih baik sekiranya sekumpulan besar penduduk mempunyai kurang pendapat boleh guna.

Apa yang harus kita lakukan

BN sepatutnya kembali kepada akar permasalahan defisit tinggi iaitu rasuah dan kronisme. Untuk mengurangkan beban hutang, kerajaan perlu komited dalam membanteras rasuah. Sayangnya, pemimpin UMNO dan BN tidak berminat melakukan perkara-perkara baik sebegini.

Mengapa? Melakukan kebaikan untuk rakyat bermakna mengenepikan kroni-kroni mereka. Tidak, BN tiada niat dan tidak akan sama sekali melakukannya.

Pilihan semakin jelas sekarang. Sebagai pengundi di Malaysia kita mempunyai kuasa untuk membuat keputusan apakah yang terbaik buat keluarga, masyarakat dan negara.-roketkini.com

Tiada ulasan: