Selasa, 25 September 2012

S'gor tidak bimbang jika Pahang enggan jual air mentah

 Oleh Siti Sofia Md Nasir


Post Pic
 
SHAH ALAM: Exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Teresa Kok mendakwa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai 'individu yang penuh emosi' apabila mengeluarkan kenyataan enggan menjual air mentah kepada Selangor. 
 
Teresa berkata, Adnan membuat kenyataan tanpa membuat sebarang kajian selain alasan yang diberikan tidak kukuh. 
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, tindakan Adnan itu juga seolah-olah satu ugutan kepada penyokong Pakatan Rakyat dan juga pengguna air di negeri tersebut.
 
"Memang ini permainan politik. Ini menunjukkan Menteri Besar Pahang membuat kenyataan tanpa mengadakan kajian dan tanpa mempunyai alasan yang meyakinkan orang.
 
"Apa yang dia kata adalah penuh dengan emosi. Dia anggap dia boleh menjadi Menteri Besar lagi.
 
"Dan ini juga adalah satu bentuk ungutan kepada penyokong Pakatan dan pengguna air di Selangor," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Adnan hari ini yang akan menimbang untuk membatalkan perjanjian pembekalan air mentah kepada kerajaan Selangor jika Pakatan Rakyat terus menghalang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2). 
 
Adnan turut membayangkan kemungkinan harga itu dinaikkan hingga RM1 satu meter padu jika kerajaan Selangor terus meletakkan pelbagai kekangan terhadap Langat 2.
 
Dalam pada itu, Teresa turut mendakwa kerajaan Selangor mempunyai beberapa lagi sumber air yang boleh digunakan sekiranya negeri ini menghadapai masalah air. 
 
"Apa yang saya tahu, mengikut pengiraan dari pakar air, mereka mendapati selain dari Pahang, kita ada sumber air yang boleh digunakan oleh kerajaan Selangor dan tidak semestinya dari Pahang," katanya.

Tiada ulasan: