Oleh Mohd Nasaie Ismail |
Pilihanraya 1999 diadakan dalam suasana politik negara panas pasca pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998. Pilihanraya yang diadakan setahun berikutnya iaitu 29 November 1999 ternyata memberi kesan besar kepada undi BN khususnya di kerusi-kerusi Melayu.
Pahang
negeri yang sejuk suam politiknya dikejutkan dengan kemenangan
Barisan Alternatif di 8 kerusi dun, iaitu 6 PAS, 1 DAP dan 1 KeAdiLan.
Daripada 8 kerusi dun tersebut, 5 daripadanya adalah kawasan Felda
iaitu dun Jengka, Paya Besar, Tahan, Guai dan Chini. Dun Jengka yang
dimenangi Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, sepenuhnya Felda. Dun Paya
Besar hampir separuh pengundi Felda, Dun Tahan sekitar 30 peratus
pengundi Felda di dua buah rancangan Felda dan Chini juga lebih 50
peratus kawasan Felda.
Penulis mengikuti dekat
perubahan di dun Jengka. Daripada 10 pusat pengundian, PAS memenangi
enam daripadanya iaitu peti undi Jengka 11,15,17,18, 19 dan Bandar
Jengka. Di Peti undi Jengka 14, 16, 20 dan 21, Pas kalah, tetapi
saluran dua ada yang menang dan peningkatan undi juga naik mendadak.
Di peti undi Felda Jengka 16, cula yang dibuat selepas pilihanraya
menunjukkan hampir setiap rumah peneroka ada pengundi PAS. Samada
ibu-bapa, anak atau menantu. Hatta di rumah pemimpin-pemimpin utama
UMNO cawangan pun ada pengundi PAS dikalangan anak dan menantu
peneroka.
Formula yang sama berlaku dihampir
setiap dun yang dimenangi oleh Barisan Alternatif ketika itu.
Bermakna, kawasan Felda dimenangi oleh undi anak muda yang membuat
perubahan. Majoriti generasi kedua dan ketiga Felda ini tinggal di
luar khususnya Lembah Klang, Seremban, Seberang Perai dan Johor Bahru.
Gelombang reformasi di Lembah Klang telah dibawa balik ke kampung dan
perubahan telah berlaku. Oleh itu, sejarah terbukti, Felda boleh
berubah!
Dalam pilihanraya 2008, PAS kalah di
dun Jengka, tetapi saluran dua dan tiga menang di 9 daripada 13 peti
undi anak muda ini. Ini mengambarkan masa depan di kawasan Felda ini
cerah. Ini berlaku ditengah gelombang Tsunami 2008 yang tidak disedari
oleh pengundi Melayu dan luar bandar. Pasca 2008, kehangatan politik
negara lebih besar dan luas kesannya berbanding Reformasi 1999.
Formula
kemenangan BA di 5 daripada 8 dun BA di Pahang akan kembali berlaku
pada pilihanraya ke-13 ini. Malah ia akan meluas ke Johor dan Negeri
Sembilan yang menjadi kubu UMNO. Setidaknya ada dua faktor besar akan
mempengaruhi perubahan ini. Pertamanya gelombang panas 'perubahan
pasca Tsunami 2008' akan dibawa balik oleh pengundi luar Felda. Jika
Reformasi 1999 hanya di Kuala Lumpur, tetapi Tsunami 2008 telah
merubah Johor dan Negeri Sembilan dengan kemenangan beberapa dun.
Ditambah
dengan kecamukan isu FGV mutakhir ini yang diperhatikan oleh pengundi
muda melalui FB dan media baru. Keduanya faktor ketuaan saluran satu
yang akan mengakibatkan berkurangan pengundi tetap BN. Di Felda Bukit
Besar, Kulai, jumlah peneroka 450 orang lebih kurang.
Yang
berbaki masih hidup sekitar 60 orang. Kebanyakan Felda di Johor
seperti Bukit Ramun, Taib Andak, Tenggaruh dan lain-lain, jumlah
peneroka hanya tinggal sekitar 25 peratus sahaja. Bakinya meninggal
dunia. Begitu juga Felda-felda di Pahang dan Negeri Sembilan, peneroka
sudah ramai meninggal dunia. Maka pengundi generasi kedua, ketiga dan
keempat akan membentuk lebih 75 peratus undi. Lebih besar daripada
pengundi peneroka yang berbaki.
Hal inilah yang
akan menggugat BN di Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Jika Felda di
Pahang boleh berubah pada pilihanraya 1999, kenapa tidak hal yang sama
akan berlaku di Johor dan Negeri Sembilan pada pilihanraya kali ini,
kerana faktor yang sama sedang melanda kawasan Felda hari ini. Malah
lebih besar lagi. Di Pahang, hanya parlimen Kuantan dan Indera Mahkota
sahaja tidak ada Felda. Baki 11 parlimen lagi mempunyai Felda yang
banyak termasuk Pekan yang diwakili Perdana Menteri. Dua dun dalam
parlimen Pekan pernah dimenangi PAS iaitu Kuala Pahang dan Chini.
Dalam isu FGV, peneroka teramai yang menolak pinjaman dipaksakan untuk
membeli saham ialah daripada Jengka dan Chini. Dalam kes sama Felda
berkait isu penipuan gred sawit pun ramainya daripada Chini.
Inilah
beberapa gambaran umum dan khusus berkait kawasan Felda untuk
pilihanraya yang akan datang. Sebelum ini, analisis politik di ketiga
negeri ini akan meletakkan Felda sebagai aset tetap BN dan menjadi
penyebab Pakatan Rakyat sukar memenangi negeri tersebut. Tetapi jika
formula kemenangan B.A di Pahang 1999 ini diambil kira, maka BN bukan
sekadar boleh tergugat di tiga negeri ini, silap hari bulan pengundi
Felda akan menjadi sebab tumbangnya BN di Pahang, Negeri Sembilan dan
Johor. Harus diingat, pengundi di Felda majoritinya bukan lagi
peneroka, tetapi generasi kedua dan ketiga.
Pengerusi ANAK di Lembah Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan