ANTARA POS.COM
SHAH ALAM: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor mengutuk
tindakan Kerajaan Pahang menimbang untuk membatalkan perjanjian
pembekalan air mentah kepada kerajaan Selangor jika Pakatan Rakyat yang
memimpin negeri itu terus menghalang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2
(Langat 2).
Penyelarasnya Azhar Achil juga menegaskan, Menteri Besar Pahang, Datuk
Seri Adnan Yaakob tidak wajar mempertaruhkan nasib rakyat Selangor dalam
isu terbabit.
Malah, katanya tindakan Adnan itu jelas menunjukkan sikap sebenar
sebuah kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional(BN) apabila
tergamak ingin membatalkan konsesi perjanjian bekalan air dari Pahang ke
Selangor, seterusnya bakal menyebabkan krisis air melanda rakyat negeri
Selangor.
"Adalah tidak wajar seorang Menteri Besar berfikir untuk menganiaya
rakyat yang berlainan negeri semata-mata kerana perbezaan parti yang
memerintah," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, SAMM Selangor juga merakamkan rasa pelik mengapa perjanjian
air antara Selangor dan Pahang perlu disemak semula sedangkan ada
perjanjian air lain yang perlu disemak iaitu perjanjian air antara
Malaysia dan Singapura.
Azhar berkata, perjanjian berat sebelah yang menawarkan harga air 'tidak masuk akal' itu tidak disemak sehingga hari ini.
Oleh demikian, SAMM Selangor memohon perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang sepatutnya dikaji semula.
"Inilah perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang sepatutnya
dikaji, disemak dan dibatal bukan hanya kerana ia berat sebelah tetapi
kerana ia suatu penggadaian hasil bumi negara kepada Singapura,"
ujarnya.
"SAMM Selangor dengan ini menyatakan kekesalan terhadap keberanian
Menteri Besar Barisan Nasional yang tidak kena pada tempatnya. SAMM
Selangor juga mencabar Umno/BN untuk punya keberanian mengugut kerajaan
Singapura untuk menutup bekalan air ke Singapura sekiranya perjanjian
berat sebelah tersebut tidak disemak semula," tambahnya.
Justeru, SAMM Selangor mendesak supaya Menteri Besar Pahang menarik balik ugutan yang dilontar.
Kerajaan Pahang semalam mengumumkan akan menimbang untuk membatalkan
perjanjian pembekalan air mentah kepada kerajaan Selangor jika Pakatan
Rakyat yang memimpin negeri itu terus menghalang pembinaan Loji Rawatan
Air Langat 2 (Langat 2).
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob juga dilapor sudah
mengarahkan pegawai-pegawainya untuk memperinci perjanjian itu, termasuk
struktur harga penjualan air yang terbabit.
Langat 2 adalah komponen penting dalam perjanjian itu kerana air mentah
yang dibekalkan oleh Pahang akan disalurkan ke loji itu untuk
pemerosesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan