Selasa, 25 September 2012

Royalti minyak: Najib diminta nyata pendirian dalam bajet

 Oleh Siti Sofia Md Nasir


Post Pic

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta menyatakan pendiriannya berkaitan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan pada sesi pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini.
 
Sekiranya Najib tidak berbuat demikian, Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) akan mengadakan konvoi beramai-ramai ke Putrajaya.
 
Konvoi yang dinamakan Konvoi R Tuntut Royalti ke Putrajaya itu akan diadakan pada 2, 3 dan 4 Oktober ini sempena berlangsungnya perbicaraan kes saman kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas, di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
 
Presiden R, Nazri Deraman, berkata konvoi berkenaan bertujuan mengajak rakyat Kelantan, Sabah dan Sarawak, Terengganu untuk sama-sama bangkit menuntut bayaran royalti daripada kerajaan.
 
"Konvoi itu akan bermula dari Kota Bharu ke Shah Alam, dan kemudiannya konvoi ke Putrajaya bagi menuntut pembayaran royalti kepada Kelantan yang tertunggak sejak 2004 yang dianggarkan RM 7 bilion," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.
 
Dalam pada itu, pihak R juga akan menyerahkan memorandum dan referendum yang mengumpulkan 150 000 tanda tangan rakyat Kelantan dalam usaha menuntut royalti minyak Kelantan.
 
Sebelum itu, R menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat Kelantan, yang diwakili ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub; Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Machang).
 
Sementara itu, dalam respons terhadap tuntutan R, Dr. Hatta berkata tindakan kerajaan tidak membayar royalti kepada Kelantan itu satu perkara yang tidak boleh dipertahankan.
 
"Apa yang dituntut mereka adalah perkara yang 'valid' dan berhemah. Tiada sebarang pelanggaran uneang-undang berkaitan tuntutan mereka," tegas beliau.
 
Kerajaan sebelum ini bercadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur.
 
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.
 
Jawatankuasa Khas itu juga akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan.
 
Dalam pada itu kumpulan NGO tersebut turut menuntut kerajaan menyatakan pembayaran bayaran tunai kepada negeri itu dalam pembentangan Bajet 2013 yang akan dibuat pada Jumaat ini.
 
Nazri berkata, sekiranya kerajaan tidak menyatakan perkara tersebut dalam belanjawan negara, seluruh rakyat Kelantan akan berkonvoi ke Putrajaya pada 2,3, dan 4 Oktober ini bagi menyatakan hasrat membantah tindakan kerajaan yang menyekat royalti minyak negeri itu.
 
Perhimpunan itu diadakan sempena perbicaraan kes saman Kelantan terhadap Petronas berkenaan Royalti Petrolueum di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Tiada ulasan: