Oleh Shahbudin Husin |
Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, Najib Razak dipercayai sedang mengintai salah satu kerusi Parlimen yang sesuai di Pahang untuk ditandinginya dalam pilihanraya umum akan datang ini.
Meskipun Rosmah berasal dari Negeri Sembilan, tetapi kedudukan politik di negeri itu yang agak bergelora serta persepsi rakyat yang berbagai terhadap dirinya menyebabkan tiada kawasan yang dirasakan selamat untuknya di negeri kelahirannya itu.
Berbeza dengan Pahang yang masih kuat kedudukan UMNOnya serta penerimaan rakyat yang lebih positif, Rosmah diyakini lebih mudah menang jika bertanding di salah satu kerusi Parlimen di negeri itu.
Kedudukan Najib sebagai PM yang berasal dari Pahang juga turut membantu penerimaan yang positif terhadap kemungkinan Rosmah bakal menjadi salah seorang calon Parlimen mewakili BN di negeri itu.
Sumber-sumber yang dekat dengan pimpinan UMNO bagaimanapun menyebut, kedudukan isteri PM itu masih lagi di peringkat penilaian ketika itu. Ada pihak yang menyokong dan ada pula yang kurang senang dengan perkhabaran itu.
Meskipun agak janggal bagi seorang isteri PM bertanding dalam pilihanraya umum tetapi kemasukan Rosmah sebagai Ahli Parlimen dan kemungkinan dilantik menganggotai kabinet dipercayai mampu menambah kukuh kedudukan Najib jika BN sekadar memperolehi kemenangan tipis dalam pilihanraya umum nanti.
Membawa Rosmah dalam kancah yang lebih luas dalam politik dan pentadbiran juga dilihat sebagai persiapan Najib untuk menghadapi masalah dalaman UMNO selepas piliharaya nanti terutama jika BN sekadar mampu menang tipis sahaja iaitu menyekat kemaraan Muhyiddin Yassin yang mungkin menggunakan kaedah sama seperti yang dialami oleh Pak Lah selepas pilihanraya 2008 lalu.
Tindakan Najib memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat sejak Shahrizat meletakkan jawatan, beberapa bulan lalu turut dikaitkan sebagai agenda Najib untuk memberikan jawatan itu kepada Rosmah selepas pilihanraya nanti.
Dalam konteks ini, Rosmah yang dikenali berwatak agak keras serta lebih vokal, dipercayai akan memainkan peranannya untuk menghalang kemaraan Muhyiddin dan seterusnya memastikan Najib terus kekal sebagai PM meskipun jika BN sekadar menang lebih tipis daripada 2008.
UMNO Pahang difahamkan sudah menerima mesej berkaitan kedudukan Rosmah ini tetapi belum diputuskan kawasan mana yang sesuai untuk ditandingi oleh Rosmah itu.
Beberapa pihak dalam UMNO pula tidak merasakan sesuatu yang janggal jika Rosmah bertanding dalam pilihanraya akan datang ini dan diberikan pula jawatan penting dalam kabinet kerana isteri PM itu dilihat berkemampuan, berwibawa dan mempunyai visi dalam pelbagai peranan yang dimainkannya selama ini.
Dari segi persepsi politik pula, kemasukan Rosmah dalam politik juga dilihat selaras dengan pendekatan dalam pembangkang yang turut membenarkan anak dan isteri pemimpin mereka turut bertanding dalam pilihanraya.
Dalam PKR misalnya, selain Anwar bertanding dalam pilihanraya, anaknya Nurul Izzah juga turut bertanding. Malahan isteri Anwar, Wan Azizah selaku Presiden PKR juga dikhabarkan akan kembali bertanding dalam pilihanraya akan datang ini atas desakan akar umbi PKR sendiri.
Dalam DAP pula, selain Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang bertanding dalam pilihanraya, isteri Lim Guan Eng iaitu Betty Chew juga merupakan ADUN di Melaka. Lebih dari itu, Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo juga merupakan anak-beranak yang mewakili DAP bertanding dalam pilihanraya lalu.
Cuma dalam Pas belum wujud fenomena itu tetapi dalam pilihanraya umum akan datang ini, selain Nik Aziz Nik Mat yang dipercayai terus kekal menjadi calon, anaknya Nik Abduh yang kini menjadi Timbalan Ketua Pemuda Pas juga disebut-sebut sebagai salah seorang calon pilihanraya.
Sekiranya PKR, Pas dan DAP membenarkan anak dan isteri pemimpin mereka terus bertanding dalam pilihanraya akan datang ini, kehadiran Rosmah sebagai calon BN dijangka tidak akan menjadi isu besar kerana UMNO akan turut memainkan isu yang sama untuk menyerang pembangkang sekiranya kedudukan Rosmah sebagai calon dipertikaikan.
Bagaimanapun yang membimbangkan UMNO ialah berkenaan isu-isu peribadi terutama berkaitan perbelanjaan dan pembelian barang-barang mewah yang pernah dikaitkan dengan Rosmah akan menjadi isu utama dan diperbesar-besarkan oleh PR dalam kempen pilihanraya nanti mampu menghakis keyakinan pengundi terhadap BN.http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan