Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Polis mengakui tiada arahan supaya dikenakan tindakan terhadap peserta Himpunan Bersih yang berada di tempat awam sekitar ibu kota 28 April lalu.
Saksi pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke-34, Assistan Superitenden Polis (ASP) W Karthikeyan berkata, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad ketika memberi taklimat pada jam 6.00 petang pada hari himpunan itu, meminta anggotanya menyuraikan peserta secara baik supaya keadaan kembali tenang.
“OCPD (Ketua Polis) ada beri taklimat kepada semua anggota beruniform di Jalan Tun Perak supaya pergi ke Jalan Tunku Abdul Rahman dan meminta peserta beredar. Sesiapa yang berada di jalan raya diminta beredar supaya kita nak membuka laluan kepada lalu lintas.
“OCPD juga ada memberitahu bagaimana nak menasihatkan orang ramai supaya beredar. Beliau meminta kami menasihatkan orang ramai secara baik dan berhemah,” katanya.
Menurut Karthikeyan, polis juga tidak diberi arahan supaya menangkap peserta yang memakai baju Bersih 3.0 dan tiada larangan kepada wartawan untuk mengambil gambar pada perhimpunan tersebut.
“Kalau peserta tidak mahu beredar, kami tidak diberi arahan supaya menangkap, memukul dan sebagainya,” katanya pada sidang itu semalam di hadapan panel siasatan Suhakam yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Dr Khaw Lake Tee serta dibantu Komisioner Professor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Kenyataan polis bercanggah
Kenyataan Karthikeyan itu bercanggah dengan apa yang berlaku pada 28 April lalu apabila polis bertindak ganas kepada peserta yang berada di tempat awam termasuk dalam bangunan dan juga restoran.
Saksi ke-16, Mohd Radzi Abdul Razak, 27, pada 23 Julai lalu memberitahu panel siasatan bahawa beliau melihat sekumpulan polis berkumpul mendengar taklimat, sebelum bertindak memukul peserta yang memakai baju kuning.
Wartawan akhbar The Sun itu berkata, sebaik sahaja habis mendengar taklimat, polis berpecah membentuk kumpulan kecil dan memukul peserta yang memakai baju Bersih.
Wartawan Merdeka Review, Chen Shaua Fui, 34, pula menyaksikan polis bertindak ganas terhadap peserta Bersih 3.0 di sebuah restoran di Jalan Tun Perak, pada kejadian jam 7.30 malam.
Karthikeyan yang bertugas sebagai Pegawai Penyelaras Logistik pada himpunan itu turut mengakui tidak berlaku apa-apa kekacauan pada awal perhimpunan.
“Ketika di Dataran Merdeka, saya tak nampak apa-apa insiden, cuma ada ramai anggota polis. Pada jam 12.00 tengah hari peserta mula ramai di Jalan Tun Perak. Mereka hanya bersorak ‘Bersih’, ‘Bersih’,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan