Jumaat, 14 September 2012

GMI: Sudah Ada Akta Baru, Mengapa Tahanan ISA Tidak Dibebaskan



KUALA LUMPUR : Gabungan Mansuh ISA(GMI) menganggap langkah transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan sekarang tidak bermakna berikutan masih terdapat 30 individu yang masih ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 15 September tahun lalu.

Pengumuman pemansuhan akta zalim itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan Hari Malaysia yang hampir genap setahun lalu.

Kononnya, pemansuhan itu juga merupakan sebahagian dari langkah kerajaan dalam melaksanakan program transformasi terhadap sistem pentadbiran dan politik negara.

Menurut Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh langkah kerajaan memansuhkan ISA ketika itu jelas membuktikan kerajaan mengakui kewujudan undang-undang pencegahan itu sudah tidak relevan lagi.

“Oleh itu, apa rasionalnya kerajaan masih membirkan tahanan dikurung di bawah undang-undang yang tidak relevan ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur di sini.

Syed Ibrahim turut memetik kenyataan Pengarah Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Mohd Bakri Zinin pada 12 September lalu yang mendakwa undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mentangani isu keselamatan negara.

Oleh itu, GMI mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri membebaskan 30 tahanan ISA yang masih ditahan di bawah akta yang diwarisi dari Kerajaan British ketika menjajah Malaya.

Laporan NST Tidak Bertanggungjawab

Dalam pada itu, GMI menolak kenyataan seorang pegawai di Kem Tahanan Kamunting bahawa wujudnya kegiatan tahanan ISA yang menjalankan kegiatan pemerdagangan orang dari dalam kem tahanan.

Kenyataan yang disiarkan akhbar New Straits Times pada 10 dan 11 September lalu antaranya menyebut kegiatan tersebut dijalankan tahanan melalui ‘kaki-kaki subahat’ mereka dan sindiket yang masih bergiat aktif di luar.

Bagaimanapun menurut Syed Ibrahim dakwaan tersebut merupakan cubaan untuk membuktikan bahawa ISA penting bagi mengekang perilaku jenayah tegar.

“GMI memandang berat laporan NST berkenaan dari sudut mesej yang ingin disampaikan iaitu pertama, melaporkan tahanan ISA sebagai pesalah yang terlibat dalam jenayah sedangkan tidak pernah terbukti di mahkamah.

“Kedua, kegagalan polis mentangani isu pemerdagangan orang dan ketiga mempersoalkan pemansuhan ISA dan cubaan menjustifikasikan penahanan tanpa bukti, bicara dan pembelaan,” kata Syed Ibrahim.

Menurut beliau lagi, kenyataan itu tambah meragukan apabila setiap panggilan telefon yang dibuat oleh tahanan sentiasa dipantau oleh pegawai kem tahanan.

“Kenyataan tersebut juga diragui kerana setiap panggilan yang dibuat akan dikawal rapi dan hanya perbualan berbentuk kekeluargaan sahaja yang dibenarkan.

“Sekiranya panggilan yang dibuat disyaki boleh mendatangkan risiko jenayah, maka panggilan itu akan ditamatkan,” ujar Syed Ibrahim lagi.

Tiada ulasan: