Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak polis
mendedahkan hasil siasatan berhubung insiden keganasan terhadap
pemimpin Pakatan Rakyat (Pakatan) sebagaimana laporan dibuat sebelum
ini.
Ketuanya,
Shamsul Iskandar Md Akin berkata, polis tidak pernah serius untuk
menyiasat kes serangan membabitkan pimpinan pembangkang, malah lambat
bertindak walaupun sudah lama dilaporkan.
“Kalau melibatkan pemimpin Umno, cepat betul polis siasat, siap tubuh
pasukan khas lagi. Tetapi bila melibatkan pemimpin Pakatan, lambat pula
mereka bertindak, hasil siasatan juga tidak diumum,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau
mengulas tindakan pantas polis menyiasat beberapa individu yang didakwa
menghina pemimpin politik BN pada malam sambutan ambang merdeka 30 Ogos
lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh hari ini menafikan
pasukan keselamatan pilih kasih dengan bertindak terhadap pelajar yang
didakwa memijak gambar pimpinan BN tetapi membiarkan insiden sama
terhadap pemimpin pembangkang.
“Kalau begitu tukar sahaja slogan polis dari ‘Tegas dan Adil’ kepada ‘Tegas dan Berpihak’.
“Sedangkan keganasan politik dimulakan samseng Umno sejak Anwar
Ibrahim dipecat pada 1998. Malah sikap biadab mereka kian memualkan
menjelang pilihan raya,” kata Shamsul.
Selain Anwar, turut menerima ancaman Umno BN termasuk ahli keluarga
dan pemandu peribadinya, pemimpin KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
Pada 19 April tahun lalu, kereta dinaiki Presiden KEADILAN, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail nyaris kemalangan kerana disabotaj.
Insiden itu disahkan mekanik yang memeriksanya selepas pemandu peribadi
Anwar, Abdullah Sani Said membuat laporan polis mengenainya.
Nurul Izzah Anwar pula sentiasa diganggu apabila pejabatnya
diceroboh, staf diugut selain serangan dalam mana-mana ceramah dihadiri
beliau termasuk nyaris ditumbuk dan dilempar batu di sebuah majlis di
Lembah Pantai.
Malah anak beliau diugut akan diculik pada Mei tahun lepas jika Naib Presiden KEADILAN itu terus menyokong kepimpinan ayahnya.
Turut
menjadi sasaran, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang
diugut bunuh serta gambar Menteri Besar Kelantan itu dikencing samseng
Umno.
Terbaru, ahli Perkasa membaling kasut semasa Anwar menyampaikan
tazkirah di sebuah masjid di Kedah selain bas yang dinaiki beliau
disimbah cat.
Semua kes ini telah dilapor, namun hingga kini tiada tindakan oleh polis berhubung laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan