Khamis, 6 September 2012

Jelajah Merdeka Rakyat dirai rakyat

(Laporan oleh Sidiqin Omar yang mengikuti Jelajah Merdeka Rakyat)

 

Mengambil semangat ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-55, KEADILAN melancarkan siri Jelajah ‘Merdeka Rakyat’ ke seluruh negara mulai 31 Ogos 2012 selama dua bulan.

Bermula dari ibu pejabat KEADILAN, bas jelajah Merdeka Rakyat bersama konvoi menelusuri Lebuh Raya Pantai Timur menuju lokasi pertama di Taman Meranti, Bentong, Pahang.

Setiba di lokasi, kira-kira 300 penduduk tempatan berebut-rebut merakam gambar bersama 
pimpinan KEADILAN, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim

.

Rombongan kemudian menuju ke bilik gerakan Pakatan Rakyat DUN Benta bagi menghadiri majlis jamuan raya.

Barangkali tergugat dengan konvoi itu, sebuah cawangan Umno berdekatan turut mengadakan rumah terbuka, tidak sampai 100 meter dari lokasi program Merdeka Rakyat.

Namun, ratusan penduduk lebih tertarik dengan jamuan raya Pakatan, apatah lagi ‘dikawal’ kira-kira 10 anggota polis berseragam ketika ceramah berlangsung.



Konvoi memasuki Kelantan dengan acara pertama di pejabat penyelia DUN Nenggiri di Parlimen Gua Musang. Lebih separuh yang hadir adalah kaum wanita.

Orang Asal hadiri jamuan raya

Mereka teruja apabila Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyampaikan ucapan. Malah, jamuan raya itu turut dihadiri lebih 100 orang Asal dari suku Temiar dari kampung berhampiran.



Di lokasi keempat – Masjid Jauhar, di Simpang Tiga, Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang, konvoi berhenti untuk solat Maghrib. Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menyampaikan tazkirah.

Konvoi terus menghala ke Pejabat KEADILAN Machang, kawasan Parlimen yang diwakili Setiusaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution. Ceramah sangat berjaya, apatah lagi dibantu sistem cahaya dan bunyi dari bas Merdeka Rakyat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kemudian menyertai Anwar menaiki bas menuju ke Padang Majlis Daerah Tanah Merah untuk ceramah perdana Merdeka Rakyat yang pertama.



Lebih 5,000 penduduk tempatan hadir mendengar tawaran pemimpin Pakatan, selain isu melibatkan Kelantan, khususnya tuntutan royalti minyak, selain polemik tema hari kemerdekaan.

Namun, kelancaran program diganggu gugat apabila berlaku serangan ala-samseng ke atas bas dua tingkat itu pada jam 4.20 pagi, 1 September lalu.

Cermin retak dilontar batu manakala bas disimbah cat merah. Laporan polis segera dibuat dan pasukan forensik datang membuat siasatan.

Berita itu menggamit ramai warga Kota Bharu yang bersimpati dan hadir ke Pasar Besar Siti 
Khadijah, lokasi ceramah Merdeka Rakyat

.

Nik Aziz bersama Exco kanan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan turut meninjau keadaan dan mengutuk serangan berkenaan.

Konvoi jadi perhatian

Jelajah diteruskan ke Grik, Perak melalui Lebuh Raya Timur-Barat. Sepanjang lebih 200 kilometer perjalanan, bas ‘dirai’ ramai pemandu yang membunyikan hon atau menunjukkan isyarat ibu jari tanda ‘bagus’.



Seketika singgah di hentian Rehat & Rawat Banjaran Titiwangsa, orang ramai menghampiri bas dan ‘berposing-posing’ mengambil gambar latar belakang banjaran Titiwangsa.

“Dema (mereka) memang dah bankrap idea Yob,” kata seorang pemuda dengan loghat pekat Perak Tengah sambil berpesan supaya meningkatkan keselamatan bas dan peserta konvoi.

Perjalanan juga tidak terganggu sekalipun melalui sekatan polis di pekan Perah, Grik yang terus ‘melepaskan’ rombongan menuju ke Kuala Rui dan Pengkalan Hulu di Perak.



Konvoi kemudian melintasi Jambatan Pulau Pinang sebelum ke acara selanjutnya di negeri utara Semenanjung. Kali ini, keselamatan diperketat dengan bantuan kawalan dari Skuad AMK Pulau Pinang.

Hari ketiga jelajah bermula dengan kejutan di Lapangan Terbang Bayan Lepas. Kehadiran bas Merdeka Rakyat di pintu utama ketibaan memeranjatkan orang ramai.

Namun, pengurusan lapangan terbang Bayan Lepas dan polis turut memberi kerjasama apabila membenarkan bas Merdeka Rakyat diletakkan di pintu utama.

 

Meriah sambut ketibaan konvoi

Konvoi bergerak ke Kuala Perlis dengan diiringi lebih 10 kereta. Di sana, jamuan raya KEADILAN Perlis meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk tempatan.

Rakyat Thailand dan pelancong asing turut sama merai ketibaan rombongan Merdeka Rakyat.

Bagai wira, orang ramai bertepuk tangan dan bersorak apabila bas tiba ke pekan Changloon.

Seperti sebelum ini, orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar bersama bas yang terpapar
 wajah Anwar

.

Ketika mengelilingi bandar raya Alor Setar, bas diiringi puluhan motosikal dan kereta secara sukarela menuju ke lokasi akhir ceramah perdana di Stadium Darulaman.

Walaupun kesan retakan dan simbahan cat masih bersisa, bas yang diletak di perkarangan Stadium Darulaman dengan kibaran panji Pakatan Rakyat, menjadi tarikan pengunjung.




Selepas perjalanan lebih 1,500 kilometer, kini jelajah Merdeka Rakyat kembali ke Kuala Lumpur untuk membuat persiapan bagi pusingan kedua jelajah ke negeri pantai barat dan selatan Semenanjung pula.
Nantikan!

Tiada ulasan: