Oleh: Aedi Asri
KUALA LUMPUR : Lebih 20,000 peserta berpakaian kuning
berhimpun di sekitar Dataran Merdeka malam tadi untuk menyertai
perhimpunan ‘Janji Demokrasi’, meskipun ia diisytihar bertentangan
undang-undang oleh kementerian dalam negeri.
Kawasan di sekeliling Dataran Merdeka juga
ditutup dan dikawal ketat pihak polis, namun himpunan berjalan lancar
tanpa sebarang kekacauan. Malah, suasana seperti pesta jelas dirasai.
Walaupun himpunan dijadual bermula hanya pada jam 11 malam, peserta
mula memenuhi kawasan sekitar dataran bersejarah itu seawal jam 9
malam.
Sementara menunggu
detik jam 12 tengah malam, peserta berlegar di sekitar dataran sambil
bersantai dan mengambil gambar. Pelbagai ragam dan aksi dapat dilihat,
termasuk persembahan spontan dari pemuzik jalanan.
Kira-kira 11.15 malam, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Naib Presiden KEADILAN, Tian
Chua dan Fuziah Salleh tiba ke kawasan himpunan, disambut dengan sorakan
peserta.
Tidak lama selepas itu, peserta mula bergerak untuk berhimpun di
dataran bersebelahan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersama-sama
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) dan anggota Gabungan
Janji yang lain.
Orang ramai juga dilihat menyanyikan lagu “Janji Ditepati” dengan lirik sinikal kepada “Janji Dicapati”.
Pada jam
11.30 malam, Pak Samad mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Janji Demokrasi’
menggunakan ‘loud hailer’. Beliau kemudian mengisytihar himpunan itu
sebagai berjaya.
Turut bersama anggota 47 NGO yang membentuk Gabungan Janji dan juga
pimpinan Pakatan Rakyat, antaranya Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr
Dzulkefly Ahmad dan penulis lirik Bob Lokman.
Tiba jam 12 tengah malam, peserta bersama-sama melaungkan ‘merdeka’
dan ‘bersih’ serta menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Sebahagian peserta
mula bersurai.
Pada satu ketika, keadaan menjadi sedikit tegang apabila sekumpulan
penunggang motosikal membunyikan hon sehingga mengganggu peserta.
Namun, keadaan kembali reda selepas peserta yang memenuhi jalan
raya membuka laluan kepada kumpulan penunggang motosikal itu untuk
berlalu pergi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan