Khamis, 20 September 2012

Kastam bersedia laksanakan GST

KL TODAY

 

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) telah bersedia untuk menguruskan sistem percukaian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya kerajaan memutuskan untuk melakasanakannya di negara ini.Ketua Pengarah Kastam, Datuk Khazali Ahmad berkata, jabatan itu diberi tanggungjawab mentadbir pelaksanaan GST dan sehubungan itu persiapan awal perlu dilakukan.

“Kami harus bersedia dari segi kepegawaian dan sistem (yang akan digunakan). Tidak payah menunggu pengumuman baru bersedia. Jadi tak jadi, jabatan tetap bersedia.

“Kami tidak mahu berada dalam keadaan tidak bersedia apabila kerajaan memutuskan untuk melaksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Kastam Sabah di Tawau yang turut dihadiri Pengarah Kastam Sabah, Datuk Dr Janathan Kandok serta pemimpin-pemimpin tempatan.

Beliau berkata, selain mengadakan latihan dan kursus berkaitan untuk petugas jabatan itu, pihaknya turut menganjurkan kursus-kursus kesedaran untuk pihak berkepentingan lain.Khazali berkata, dari segi kemudahan dan peralatan, pihaknya sedang merangka sistem komputer yang bersesuaian dengan sistem GST.

Mengenai pencapaian kutipan cukai agensi itu yang sehingga 17 Sept mencatat RM22.5 bilion, beliau berkata ia merupakan peningkatan sebanyak 6.69 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Antara faktor penyumbang kepada peningkatan kutipan cukai itu ialah perkembangan ekonomi negara yang baik, katanya.

Tiada ulasan: