Isnin, 10 September 2012

Isa: Turun naik saham FGVH hal biasa

KL TODAY

 

Turun naik harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di Bursa Malaysia adalah perkara biasa dan ia berlaku kepada semua syarikat perladangan.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, peneroka dan pemegang saham sudah sedia maklum terhadap situasi itu.Beliau juga percaya keyakinan peneroka dan pemegang saham terhadap FGV tidak akan terjejas.

“Ada beberapa faktor mengakibatkan penurunan saham, antaranya laporan keuntungan suku pertama tidak sebaik tahun lalu sekali gus menimbulkan keraguan.

“Perkara ini juga berlaku mungkin dipengaruhi kejatuhan harga kelapa sawit dunia dan serantau, malah turut menyebabkan penurunan di syarikat perladangan lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi

Peserta-peserta Rancangan Felcra Gugusan Rantau Berhad ke-19 di Dewan Orang Ramai Bagan Pinang, dekat sini, semalam.

Mohd Isa berkata, penurunan saham juga mungkin disebabkan oleh mereka terpaksa menjual saham kerana kebergantungan pinjaman daripada bank.

“Selain itu, faktor pelabur dalam dan luar negara yang mahu mengaut keuntungan lalu mereka menjual sahamnya dan itu kita tidak boleh elakkan.

“Namun, saya percaya, dengan perancangan yang kita dibuat, FGV akan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, harga saham FGV turut bergantung kepada keadaan ekonomi dunia dan serantau serta harga komoditi yang sentiasa mengalami kenaikan dan penurunan.

Tiada ulasan: