Isnin, 10 September 2012

Syabas sengaja lewat proses tukar meter

KL TODAY

 

Segelintir rakyat Selangor yang masih tercicir menerima air percuma sejak dilaksanakan berpunca sikap lepas tangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan, Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad.

Menurutnya, perkara itu terjadi kerana Syabas suka melengahkan proses migrasi meter pukal kepada meter individu terutamanya melibatkan apartmen dan flat sehinggakan pemberian air percuma tertangguh.

“Sudah banyak kali kita bertemu dengan Syabas maklumkan perkara ini, tapi malangnya masih lagi berlaku. Syabas tidak buat kerja dengan cepat.

“Sebab itu kita ada perkenalkan tiga mekanisma iaitu, lapor dan dapat, baucer dan kupon kepada rakyat yang masih menggunakan meter pukal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan 683 pengguna di Selangor yang akan memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam Selasa ini bagi mendapatkan tunggakan subsidi di bawah skim air percuma.

Menurut Iskandar, jika kerajaan negeri diberi kuasa mengambil alih air Selangor,  perkara tersebut tidak akan timbul.

“Kerajaan negeri tiada kuasa dalam proses penyaluran air, kuasa itu masih di bawah Syabas. Kita hanya ada peruntukkan sahaja, bukannya untuk salurkannya.

“Kalau air berada di bawah kerajaan negeri, pastinya tidak timbul proses penukaran meter yang lambat kerana diuruskan sendiri oleh anak syarikat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka.

Tiada ulasan: