Timbalan Ketua Muslimat Pas Pusat berkata, tindakan perundangan diambil bagi membersihkan namanya yang dituduh melakukan penghinaan pada majlis pertabalan.
"Saya sudah failkan tindakan undang-undang untuk bersihkan nama saya yang dikatakan saya mempersenda Raja-raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
"Saya telah katakan perkara itu tidak benar dan ambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut," kata beliau yang Ahli Parlimen Kota Raja kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sebelum ini, Dr Siti Mariah telah menyatakan hasratnya untuk mengambil tindakan menyaman fitnah terhadap Dr Abdul Rahman, yang merupakan seorang pegawai perubatan, berhubung isu itu.
Justeru, Dr Siti Mariah yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, diwakili peguam dari Tetuan Abdul Aziz dan Yazmin, telah memfailkan saman fitnah terhadap Dr Abdul Rahman kira-kira pukul 10 pagi tadi.
"Saya telah failkan saman tersebut dan saya tunggu proses selanjutnya untuk mengambil tindakan," katanya lagi.
Dakwaan itu turut mengaitkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Presidennya, Tian Chua tetapi kedua-dua mereka telah menafikan dakwaan mereka mempersenda dan mengejek Raja-raja Melayu pada majlis pertabalan itu.
Ketika ditanya individu yang disaman, wakil rakyat penggal pertama itu menambah, "saya tak nak komen yang lain, saya hadir hari ini hanyalah untuk bersihkan nama dan tunaikan kata-kata saya berhubung tindakan yang akan diambil ke atas individu tersebut."
"Saya tak mahu cakap siapa dia, siapa yang ikuti perkembangan kes saya, mereka tahulah, dan sekarang saya tunggu proses selanjutnya untuk ambil tindakan" katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan