Wong Koon Mun dilabel sebagai wakil rakyat 'kedai kopi' kerana mengaitkan kejadian tanah runtuh dengan aktiviti kecurian pasir.
Sekitar Dun Selangor
SHAH ALAM: Kegagalan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjawab isu tangkapan petualang dalam skandal operasi curi pasir di negeri itu dibidas Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baru).
Wong menerusi soalan tambahan dalam sidang Dewan Negeri (Dun) di sini hari ini mempersoalkan mengenai tiada pendedahan berhubung jumlah tangkapan dibuat berkaitan skandal pasir walaupun kerajaan negeri mengumumkan penurunan jumlah pemantauan dan tangkapan sejak 2008.
Abdul Khalid tidak menjawab soalan yang dikemukakan tetapi sebaliknya melabel Wong sebagai wakil rakyat ‘kedai kopi’ kerana mengaitkan kejadian tanah runtuh dengan aktiviti kecurian pasir.
“Kalau kerajaan negeri efisyen sangat, siapa tahu individu atau kumpulan mana yang ditangkap serta apa hukumannya? Skandal kecurian
pasir ini mendatangkan masalah sampingan…..sebelum 2008 tiada jambatan runtuh atau tebing sungai runtuh,” soal Wong.
Abdul Khalid bagaimanapun menegaskan aktiviti kecurian pasir di negeri itu tidak menyumbang kepada kejadian tanah runtuh atau runtuhan tebing pasir seperti dibangkitkan Wong.
“Logik yang digunakan agak rendah iaitu kononnya dengan kecurian pasir jambatan runtuh…ini hanya cakap di kedai kopi. Kita panggil Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) jalankan kajian, mereka kata faktor tersebut tidak menyumbang,” ujar Abdul Khalid yang juga Adun Ijok.
Terdahulu menerusi jawapan asalnya, Abdul Khalid memberitahu Dun bahawa jumlah tangkapan yang dibuat berkaitan kecurian pasir menurun sejak 2008.
Pada 2008 sebanyak 974 tangkapan, 159 (2009), 91 (2010), 37 (2011) dan hanya 26 tangkapan dibuat sehingga Jun 2012.
Unisel
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Universiti Selangor (Unisel) terus menjadi tumpuan dalam dewan apabila Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) membangkitkan mengenai perbelanjaan universiti di bawah kerajaan negeri itu.
Menurut Sulaiman, pendapatan Unisel sejak 2008 hingga kini menurun dan sepatutnya kerajaan negeri berusaha untuk meningkatkan perbelanjaan dan kemasukan pelajar di universiti terbabit.
“Saya terima banyak keluhan apabila banyak rumah sewa milik Unisel kosong. Rumah di Taman Ilmu hampir kosong, malah Unisel ada rumah sewa di Bandar Puteri mengalami nasib yang sama. Ramai harapkan pertumbuhan baru di Bestari Jaya untuk pertambahan ekonomi,” kata Sulaiman.
Katanya, isu Unisel tidak patut dipolitikkan dan sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Selangor, Unisel akan dikategorikan sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan