Hari
ini Tun Dr. Mahathir Mohamad genap berusia 87 tahun.Kalau diikutkan
beliau lahir pada 10 Julai 1925 tetapi kalau berdasarkan dokumen rasmi,
tarikh lahir Dr. Mahathir dicatatkan pada 20 Disember 1925.
Beliau
lahir hasil dari perkongsian hidup di antara Mohamad Iskandar dan
isterinya, Wan Tempawan Wan Hanafi.Dr. Mahathir yang dilahirkan di
Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, dipilih secara
rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 18 Julai 1981.
Siapa
pun tidak boleh menyangkal, di bawah pentadbirannya, negara telah
melalui suatu proses transformasi yang tidak pernah digambarkan sebelum
ini.
Mahathir mahu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan rakyatnya mampu bersaing di peringkat global.
Hasratnya
dijelaskan dalam apa yang dinamakan Wawasan 2020 yang beliau utarakan
pada 28 Februari 1991 dengan bermatlamatkan “ke arah pembentukan sebuah
negara yang benar-benar maju dalam segala bidang secara seimbang
meliputi ekonomi, politik sosial, kerohanian, psikologi dan kebudayaan”.
Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak pernah letih memperkenalkan perubahan.
Beliau
tidak gentar dengan kontroversi dan pernah menggemparkan hubungan baik
diplomatik Malaysia-British dengan mengamalkan dasar ‘Buy British Lasts”
sebagai satu tindak balas di atas sikap London yang mendiskriminasikan
kepentingan Malaysia.
Beliau
kemudiannya memperkenalkan ‘Dasar Pandang Ke Timur’ dengan menjadikan
budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea sebagai suatu yang harus
diteladani oleh rakyat demi meningkatkan produktiviti serta menyemai
etika kerja professional.
Program
pengswastaan mula diketengahkannya pada tahun 1983 sebagai satu usaha
mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam menjana projek-projek
pembangunan. Pengswastaan terhadap entiti kerajan juga digerakkan agar
organisasi yang diswastakan lebih cekap.
Dalam
usaha ke arah membina negara maju proses industrialisasi adalah sesuatu
yang wajib. Sehubungan itu beliau telah melancarkan ‘Dasar
Perindustrian Negara’ yang bertujuan mengorentasikan kegiatan ekonomi
Malaysia kepada eksport barangan industri demi mengurangkan pergantungan
ekonomi terhadap komoditi dan seterusnya mempertingkatkan teknologi
negara melalui pemindahan teknologi.
Melalui
dasar ini HICOM, Perwaja dan beberapa kilang berkapasiti tinggi telah
diwujudkan. Hasil dasar ini maka lahirkan kereta nasional ‘Proton
Saga’. Sejak itu Malaysia menjadi pemain yang aktif dalam industri
otomobil dengan mengeluarkan van ‘Rusa’ dan motosikal ;Kriss’ dan
menjadi pengeksport kereta yang berdaya maju.
Pada
September 1996, kerajaan dibawah kepimpinannya telah mengumumkan
pembinaan bandaraya pentadbiran persekutuan ‘Putrajaya’ yang bernilai
RM2.6bil.
Putrajaya
sebuah bandar pentadbiran terancang mempunyai falsafah murni ke arah
mempertingkatkan produktiviti pentadbiran awam negara dan seterusnya
mewujudkan ‘kerajaan elektronik’.
Dr
Mahathir juga mengilhamkan ‘Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu
projek hartanah yang terbesar di dunia dengan nilai RM 2bil. Bangunan
ini merupakan bangunan tertinggi di dunia dengan 88 tingkat menara
berkembar di atas lokasi seluas 40 hektar.
Malaysia
pada tahun 2002 dijangkakan mempunyai sebuah empayar hidroelektrik baru
iaitu Empangan Bakun, sebuah projek mega yang bernilai RM20bil. di
Sarawak.
Menyedari
bahawa industri penerbangan awam bukan hanya memerlukan pesawat terbang
canggih tetapi juga lapangan terbang yang serba boleh, Dr. Mahathir telah menukar kawasan ladang di Sepang kepada tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Lapangan terbang ini akan tampil sebagai yang tercanggih di rantau ini
dengan nilai RM9 bil. Ia akan dapat menampung perjalanan 100 juta
penumpang setahun dan pastinya menjadikan Penerbangan Malaysia (MAS)
antara yang paling kompetitif di dunia.
Pada tahun
1997, Dr. Mahathir memperkenalkan ‘Koridor Raya Multimedia (MSC)’ yang
akan menjadikan Malaysia pusat eksperimen pembangunan prasarana
multimedia yang terunggul di dunia.
Tun Dr
Mahathir Mohamad pernah menyuarakan hasratnya untuk berundur sebelum
kegawatan ekonomi, tetapi terpaksa membatalkan hasrat beliau untuk
bersara dan sebaliknya menumpukan perhatian beliau untuk membina semula
ekonomi negara.
Bagaimanapun
pada penutup Perhimpunan Agung UMNO 22 Jun 2002, Dr Mahathir telah
mengejutkan seluruh negara dengan mengumumkan perletakan jawatan beliau
sebagai Presiden UMNO.
Dr
Mahathir kemudiannya mengumumkan akan bersara sebagai Perdana Menteri
pada Oktober 2003 dan menamakan Timbalannya, Datuk Sri Abdullah Ahmad
Badawi sebagai pengganti.
Ini menamatkan kariernya sebagai Perdana Menteri paling lama dan salah seorang pemimpin Asia Tenggara yang paling lama berkuasa.
Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Malaysia sebagai salah satu negara yang mantap ekonominya di dunia, khususnya di Asia Tenggara.
Selamat Hari Jadi Tun! Sumber: MYnewshub.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan