Khamis, 5 Julai 2012

Salehuddin pulang bersama aura Serambi Mekah


Oleh GreenCresent

Salehuddin Ayub kini seorang Naib Presiden PAS yang paling terkedepan dalam menguasai pemberitaan media dalam ketegori ketokohan politik nasional hujung minggu ini.

 Namanya terserlah memuncak sebaik selesainya debat Sinar Harian (19 Jun 2012). Ia dihangat lagi dengan berita kepulangannya ke Johor bagi menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13.

Itulah tokoh segar pimpinan PAS, seorang lulusan bidang Sains Pembangunan Manusia dari UPM dan bekas kakitangan bank kelahiran Pontian Johor dari darah campuran Cina (emak) dengan Melayu (bapa). Selaku Naib Presiden PAS semestinya menjadi pejuang parti Islam yang sepenuh masa. Beliau pada awalnya adalah menjadi aktivtis ABIM dan pernah memegang jawatan Setiausaha ABIM cawangan Pontian (1981-1983). Pengalaman dan tarbiyah ABIM ketika itu amat dekat dengan misi perjuangan PAS. Sudah pasti pengalamannya bukan langkah sumbang baginya mengatur langkah perjuangan bersama PAS selepas 1983.

Pengalaman 30 tahun

Kini, Salehuddin sudah memasuki 30 tahun cabaran lurah dan liku perjuangan Islam. Selayaknya, beliau mendaki dalam memikul amanah dengan cukup bertenaga. Bermula dari menduduki senarai pemimpin bawah terus melangkah ke pintu paras tertinggi. 
 
Lamanya berada dalam senarai kepimpinan PAS Pusat adalah berkat istiqamah menekuni landasan yang mengukir bakat yang tersemat kesabaran.

Ketokohan Salehuddin terbukti ketika memegang Setiausaha Pemuda Pusat (1997-1999), kemudian Naib Ketua Pemuda PAS Pusat (1999-2001), diikuti pula sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat (2001-2003) dan Ketua Pemuda PAS Pusat (2003-2009). Ia cukup mendapat perhatian seluruh warga perjuangan PAS mengamanahkan kepadanya Naib Presiden. Kini telah dua penggal selaku Naib Presiden (bermula penggal pemilihan 2009 dan 2011 hingga kini) yang popular dalam bual bicara perjuangan merakyatkan isu-isu menyanggahi kezaliman dasar dan amalan kuasa hegemoni Barisan Nasional.

Pejuang demokrat

Pengalaman pilihan raya pula pasti mematangkan Salehuddin selaku pemimpin dan penjuang demokrat yang lunak membangkit prinsip dan dasar PAS. Bermula pada pilihan raya 1999 di Dun Benut, Johor beliau memperolehi 28.2 peratus sokongan pengundi dan tewas sebanyak 7,209. Ketika itu sebagai Ketua Pemuda PAS Johor. Ia sebagai pengalaman sulung mendepani cabaran politik dakwah secara silmiyyah.

Apa pun selepas menjawat Ketua Pemuda Pusat, beliau telah dipilih oleh parti bertanding di parlimen Kubang Kerian, Kelantan pada pilihan raya umum 2004. Beliau memperoleh 57.56 peratus sokongan dan meraih majoriti 5,627 undi. Seterusnya pada pilihan raya umum 2008 sekali lagi bertanding mempertahankan parlimen Kubang Kerian dan berjaya dengan penguasaan 62.17 peratus undi dengan meraih majoriti 10,642 undi.

Serambi Mekah universiti politik

Atas asas apa Salehuddin dibawa ke Kubang Kerian adalah mengandungi maksud yang tersirat dan tersurat. Apa yang pasti, kini Salehuddin sudah lapan tahun mewakili parlimen Kubang Kerian, iaitu salah satu kubu PAS di Kelantan yang tidak pernah tewas. Pasti juga sarat dengan aroma dan aura Serambi Mekah yang pernah diabsah sebagai “Universiti Politik Terbuka” oleh pimpinan PAS.
 
Sebelum ini Kubang Kerian dikenali sebagai parlimen Nilam Puri pada pilihan raya umum 1990 dan 1995. Ketika itu, Nilam Puri diwakili Timbalan Presiden PAS sekarang, Haji Mohamad Sabu yang ketika itu selaku Naib Ketua dan Pemangku Ketua Pemuda Pusat. Berikutan persempadanan bahagian pilihan raya 1996 parlimen Nilam Puri telah diubah sempadan dan membentuk dua parlimen baru, iaitu Kubang Kerian dan Ketereh.

Pada pilihan raya 1999, untuk pertama kali parlimen Kubang Kerian diwakili Haji Husam Musa. Kemudian pada pilihan raya 2004, Haji Husam telah bertanding di Dun Kijang bagi memberi laluan kepada Salehuddin di parlimen Kubang Kerian. 
 
Ia jelas terserlah keunikan perjuangan PAS dalam kancah politik Kelantan. Maka Salehuddin adalah pemimpin yang menjadi mata-rantai perjuangan tokoh-tokoh dari luar Kelantan terdahulu daripadanya – Zulkifli Muhammad, Abu Bakar Hamzah dan Mohamad Sabu – berjaya mengukir nama membawa kebangkitan semangat dan kemajuan perjuangan Islam di negara ini.

Selamat pulang anakku

Sehubungan itu, pada 29 Jun lalu segala-galanya telah benar mengenai cakap-cakap dan khabar angin tersebar sebelumnya. Sudah rasmi, Salehuddin yang diura-ura bakal meninggalkan Kubang Kerian telah pulang mengukuh saf kepimpinan PAS Johor berdepan Barisan Nasional dalam pilihan raya ke-13.
 
 Ia berlaku dengan penuh harmoni seiring dengan semangat kebangkitan Himpunan Hijau bermula di Alor Star, Kedah pada 1 Jun lalu. Semarak kehijauan telah menyambut kepulangan Salehuddin.

Kemuncak kemeriahannya sedia terungkap “selamat pulang anakku” oleh seorang “bapa” Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Diungkap dengan penuh harapan menuju kejayaan pada malam Tuan Guru memotong riben selamat pulang (29 Jun) bertempat di Taman Dahlia, Johor Bharu. Sejarah menintakan detik kepulangan bergaya dalam mengatur langkah PAS bersama Pakatan Rakyat Johor sedang menitip perjuangan menuju Putrajaya.

Hakikat kemeriahan acara selamat pulang itu cukup terbukti dalam empat siri program sepanjang hari 29 Jun. Mengambil semangat kebersamaan Al-Mursyidul Am di Johor Bharu ialah acara solat Jumaat di Pasir Gudang, diikuti perjumpaan warga perumahan flat pengundi Johor dan Kelantan di Kempas, dan makan malam bersama kepimpinan Cina anjuran Perhubungan PAS Johor diketuai Pesuruhjaya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed serta acara kemuncaknya Himpunan Hijau bersama pemuda di Taman Dahlia telah merakamkan kehadiran 20 ribu pendukung ekspresi hijau.

Ia turut diserikan dengan penyerahan keahlian PAS pelakon filem Laftenan Adnan, Hairie Othman sebagai ikon anak muda yang tuntas. Segala-galanya jelas terpamer kesatuan semangat menyumbang kemenangan Pakatan Rakyat di bumi selatan Johor Darul Takzim. Semoga berjaya dengan penuh keberkatan-Nya – Allahu akbar

http://greencresent-wanibrah.blogspot.com

Tiada ulasan: