Khamis, 5 Julai 2012

Hudud: Kedah serah kepada Pas Pusat

ROSLINDA HASHIM

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
 
 
ALOR SETAR - Pas Kedah akan akur pada arahan Pusat sama ada hukum hudud wajar dilaksanakan di negeri diterajui Pas, mahupun Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pihaknya akan patuh pada ketetapan Pas Pusat berhubung perkara itu.

“Saya sokong apa yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak penting sama ada Kelantan atau Johor yang laksana terlebih dahulu,” katanya.

Bagaimanapun, perkara berkaitan hudud lebih sesuai dibincangkan di peringkat mufti atau ulama untuk lebih kefahaman, berbanding membincangkan pihak mana terlebih dahulu melaksanakannya.

“Kita serahkan pada ulama… rujuk pada Majlis Mufti Kebangsaan, mereka lebih arif,” katanya.

Mengulas saranan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman agar Umno melaksanakan hudud di seluruh negara kerana memegang tampuk pemerintahan di peringkat Pusat, Azizan berkata, perkara itu juga perlu dirujuk kepada mufti untuk melihat kesesuaiannya.

“Bila pilihan raya umum makin dekat, macam-macam isu dibangkitkan semula termasuk hudud,” katanya.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz mengajak Umno Johor bekerjasama untuk melaksanakan hudud jika mampu melaksanakannya lebih awal berbanding Kelantan berikutan negeri itu menghadapi halangan berbuat demikian.

Nik Abdul Aziz juga berharap ia tidak ditarik balik sebaliknya akan menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: