Ahli Panel, Prof Dr Jayum anak Jawan berkata, ia sudah menjadi tugas kepada kedua-dua negeri tersebut bertindak sebagai penyelamat kepada parti pemerintah dan tugas ini digalas buat pertama kali pada tahun 1948.
Menurutnya, perkara yang sama berlaku sekali lagi pada 1963, seterusnya pada 1969 sebelum Barisan Nasional (BN) menghadapi masalah majoriti pada pilihan raya umum 2008.
”Tugas kami menyelamatkan Melayu, Umno dan BN setiap kali mereka mengalami masalah. Bagaimanapun apa yang menyedihkan kami sering dijadikan anak tiri dalam apa jua bidang di negara ini.
”Kami juga tidak pernah merasa jawatan penting dalam semua pentadbiran negara, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai jawatan yang lain,” katanya dalam sesi perbincangan Meja Bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang bertajuk ‘PRU13: Malaysia Pilih Siapa?’ di sini, hari ini.
Perbincangan pusingan kedua ini membawa tajuk ‘Sabah dan Sarawak: Simpanan Tetap atau...?’
Jayum berkata, di Negeri Sabah kini hanya mempunyai lapan peratus masyarakat Melayu berbanding dengan Sarawak yang hanya dua peratus.
Katanya, masyarakat di kedua-dua negeri ini bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bakal menerajui negara ini asalkan kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak dijaga.
“Kesetiaan kami bukan kepada individu tetapi kepentingan kepada semua pihak, bukan tertumpu kepada satu aspek. Malah Melayu yang ada di kedua-dua negeri itu boleh berpihak kepada Umno, Pas atau PKR,” katanya.
Pandangan itu juga disokong oleh Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir bahawa Sabah dan Sarawak perlu seimbangkan pembangunannya dengan negeri-negeri di semenanjung.
Katanya, untuk mengekalkan Sabah dan Sarawak menjadi pelampung kepada BN, segala janji perlu ditunaikan dan kerajaan pusat perlu menitikberatkan 6 perkara yang menjadi penentu kemenangan dalam tempoh 10 ke 15 tahun lagi.
Jelasnya, faktor penentu terbabit adalah golongan tua yang buta huruf dan rendah politiknya semakin ramai yang meninggal dunia, peningkatan golongan cerdik pandai, transformasi sosial berlaku, kebangkitan media baru, migrasi yang semakin meningkat dan kematangan dan celik politik semakin bertambah.
“Lanskap politik sudah berubah dengan pelbagai kemungkinan berlaku, dengan jangkaan sengit akan berlaku,” katanya yang meramalkan BN akan kehilangan 7 kerusi Parlimen di Sarawak.
Beliau juga menambah, pengundi muda di Sarawak, 56 peratus menyokong BN khususnya Melayu dan Melanau, manakala pengundi muda Cina pula tidak menyokong BN.
Dalam pada itu katanya, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak akan berundur daripada jawatannya sehingga 2013.
“ Banyak pihak berkata, beliau akan berundur, namun sejak 1992 lagi katanya akan berundur. Saya rasakan Taib tidak akan berundur sehingga 2013, kerana beliau mahu menjadi Menteri paling lama berkhidmat iaitu selama 50 tahun,” katanya.
8 ulasan:
samada masih simpanan tetap atau tidak, kita lihat saja pada PRU nnti.
Susah juga mahu cakap Sabah Sarawak ni fix deposit atau sebaliknya. Kita tunggu dan lihat sajalah nanti.
Selebihnya terpulanglah pada rakyat untuk membuat penilaian terhadap hal ini.
Selebihnya terpulanglah pada rakyat untuk membuat penilaian terhadap hal ini.
Sabah la paling maju jika ia negeri fix deposit
Berhenti gelar Sabah negeri fix deposit.
Mengenai fixed deposit itu rasanya semua itu akan terjawab pada PRU13. Tapi yang pasti mengenai fixed deposit ini Sabah dan Sarawak adalah rakan Malaysia dan bukannya jajahan Malaysia.
Sabah dan Sarawak adalah negeri kerjasama dengan Malaya dan bukannya negeri suruhan.
Catat Ulasan