Jumaat, 6 Julai 2012

Rafizi Ramli, musuh nombor satu BN?

 
 
KUALA LUMPUR— Sewaktu mencalonkan diri sebagai calon ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti tersebut tahun 2010, Rafizi Ramli adalah nama yang asing bagi ramai pihak.

Walaupun telah melibatkan diri dengan gerakan reformasi anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim semenjak hari pertama pada tahun 1998, watak Rafizi tenggelam oleh kerana kehebatan mentornya, Allahyarham Adelan Benan Omar. Adelan Benan Omar dan Rafizi Ramli (gambar) kedua-duanya membesar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Dalam tulisan di blognya, Rafizi menceritakan bagaimana manusia “genius” (Adelan) mendidiknya sehingga menjadi seorang pendebat hebat.

Rafizi kemudiannya masuk ke dunia korporat dan pernah bertugas di GLC seperti Petronas. Akauntan bertauliah ini muncul kembali dalam arena politik pada penghujung tahun 2010. Beliau dikatakan bertanggungjawab menyediakan teks debat Anwar ketika berhadapan dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hari ini, nama Rafizi Ramli digeruni. Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil tersungkur dari kuasa akibat dari kebijaksanaan anak muda ini menyusun strategi dalam mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang melibatkan keluarga Shahrizat.

Selepas NFC, Rafizi terus membongkar skandal dan penyelewengan. Terbaru, skandal berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang.

Lawan tidak memberikan Rafizi jalan mudah. Pengarah strategik PKR itu diserang kembali dari pelbagai penjuru. Bank Negara Malaysia (BNM) dalam isu NFC, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam skandal LRT laluan Ampang dan terbaru semalam, blog beliau www.rafiziramli.com pula digodam.

Ketika ditanya The Malaysian Insider mengapa serangan bertali arus dari pelbagai pihak menuju kepadanya, Rafizi percaya ini kerana Barisan Nasional (BN) tidak mahu skandal ala NFC berulang.

“Saya percaya selepas pendedahan skandal NFC, rakyat lebih percayakan satu pembentangan hujah yang didokong oleh fakta dan bukti. Pada masa yang sama, rakyat mahu melihat politik baru yang tidak diwarnai serangan peribadi, tetapi berasaskan isu kepentingan awam.

“Kebetulan itu tugas saya dalam PKR dan saya harus tampil membawa isu-isu begini yang melibatkan kepentingan awam. Saya fikir BN merasakan mereka tidak boleh mengulangi 'NFC fiasco' kali kedua.”

Tidak ramai yang tahu sebenarnya pengarah strategik PKR itu bekerja dalam sebuah pasukan yang tersusun dan didokong oleh pemimpin kanan PKR dalam mendedahkan sesuatu skandal besar. Ramai menyangka Rafizi bergerak secara bersendirian dan membuat keputusan sendiri.

“Saya mendapat sepenuhya sokongan dari rakan-rakan PKR. Kepimpinan parti berikan sepenuh mandat untuk lakukan siasatan dan ambil pendirian mewakili parti dalam hal-hal ini. Malah, saya tidak perlu pun melaporkan kepada Biro Politik segala perancangan saya dalam sesuatu hal supaya saya ada kelonggaran sepenuhnya menyusun strategi sesuatu isu.

“Dalam strategi kami membina hujah dan isu, contohnya dalam kes NFC, sebenarnya kami ada 'tag team' dan kumpulan sokongan yang akan mengembangkan isu itu secara tersusun. Malah, PKR memberi dokongan penuh dari segi nasihat dan bantuan guaman. Setiap isu akan ada 2-3 orang pimpinan kanan yang bersama-sama saya. Cuma,parti memberi kepercayaan sepenuhnya kpd saya untuk ke depan,” jelas Rafizi.

Anak muda kelulusan United Kingdom (UK) itu ternyata tidak gentar dengan serangan bertali arus yang datang kepada dirinya. Tekanan yang dihadapkan kepada dirinya masih belum lagi mmampu menghentikan beliau dari terus membongkar skandal penyelewengan.

“Saya tidak terlalu memikirkan risiko atau kesan kepada saya. Yang penting sesuatu isu itu ada kesan besar kepada rakyat dan sama ada fakta atau bukti itu tepat.

Jadi saya tidak banyak pertimbangan materialistik dan tidak ada cita-cita yang tinggi.

“Oleh itu saya lebih mudah menumpukan kepada tugas tanpa terlalu berkira mengenai kesan kepada diri saya. Yang paling penting – perlu ada asas kekuatan moral dan agama. Jika kita yakin kita berada di jalan yang benar, 'gunung' pun boleh dialih,” kata bakal calon PKR di kerusi parlimen Pandan itu lagi.

Pengarah strategik PKR itu telah berdebat sebanyak dua kali bersama ketua pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin. Pertama debat anjuran UKEC di UK dan terbaru dalam debat anjuran Sinar Harian. Dalam kedua-dua debat, Rafizi kelihatan tenang menghuraikan hujah-hujahnya tanpa retorik dan serangan peribadi.

Tiada ulasan: