Sabtu, 14 Julai 2012

Polis iring Himpunan Oren serah memo

Abdul Rahim Sabri


 
Seramai lebih 5,000 peserta Himpunan Oren berarak daripada pintu Masjid Wilayah Persekutuan menuju ke Istana Negara petang ini bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

himpunan oren marchKumpulan berkenaan antara lainnya diketuai timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, ketua penerangan Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi Persatuan Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman dan naib presiden Salahuddin Ayub.

Dalam perarakan bermula jam 2.20 petang itu, kumpulan berkenaan turut melaungkan slogan "Pecat Isa Samad", "Bebas peneroka" dan "Hancur Najib.

crowd at anti-felda fgv march pasPeserta berpakaian warna jingga itu dikawal ketat oleh anggota Unit Amal PAS yang membentuk rantaian manusia.

Tidak lama selepas itu, kumpulan berkenaan bagaimanapun disekat oleh sepasukan anggota polis yang membuat rintangan di persimpangan Jalan Dutamas 1 - Jalan Sri Hartamas 1.

Sekatan itu dibuat pada jarak dianggarkan 600 meter daripada Istana Negara, seperti yang dipersetujui dalam perbincangan penganjur dengan polis semalam.

Dalam ucapannya di lokasi tesebut, Mohamad Sabu berkata Yang di-Pertuan Agong boleh campurtangan dalam isu bekenaan demi "mempertahankan kepentingan orang Melayu."

Mazlan Aliman pula dalam ucapannya berkata pihaknya akan "melawan habis-habisan" walaupun FGVH telah disenaraikan ke Bursa Malaysia.

mazlan aliman anti-felda fgv march"Selagi BN tidak batalkan (penyenaraian) FGVH, kita tetap lawan habis-habisan," katanya.

Perjuangan itu masih belum berakhir dan barisan peguam ANAK juga akan mengemukakan saman ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini menyifatkan sekumpulan peneroka sebagai "haram jadah."

Lapan peneroka berkenaan yang disifatkan demikian oleh Najib, akan mengemukakan saman sebanyak RM80juta ke atas perdana menteri itu.

mohamad sabu tuan ibrahim himpunan orenSelain itu, pihaknya akan menyaman Suruhanjaya Sekuriti kerana membenarkan penyenaraian dilakukan.

Bahkan, kata Mazlan, pencarum KWSP, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera turut akan mengambil tindakan yang sama selepas simpanan mereka didakwanya dilaburkan di FGVH.

Sementara ketua penerangan PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya di situ turut mendesak Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad meletak jawatan kerana rakyat "hilang kepercayaan" kepadanya.

"KitaNONE minta kerajaan beri perhatian kepada tuntutan rakyat. Dengar cakap rakyat atau kami tumbangkan kerajaan yang ada," katanya.

Beberapa pemimpin lain dalam kumpulan itu kemudiannya meneruskan ucapan kepada para peserta sementara lapan wakil berkenaan menaiki kenderaan yang diiringi polis ke kawasan Istana pada kira-kira jam 3 petang.

Lapan wakil tersebut, termasuk Mohamad Sabu dan Mazlan Aliman, membawa memorandum bagi memohon Yang di-Pertuan Agong masuk campur dalam isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings.

Bagaimanapun, hanya enam orang sahaja dibenarkan menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai perhubungan awam Istana Negara, Khairi Abdul Rahman.

Wakil Himpunan Oren, yang diiringi kenderaan polis, kembali menyertai kumpulan besar yang disekat di persimpangan berkenaan kira-kira setengah jam kemudian selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Mazlan dalam sidang medianya selepas itu antara lainnya mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis atas kerjasama yang diberikan kepada mereka dalam perhimpunan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan dalam sidang medianya petang ini berkata, pasukan tersebut menganggarkan jumlah peserta hanyalah 1,000 hingga 2,000 orang.

Katanya, keseluruhan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman dan para peserta bersurai tepat jam 4 petang.

Tiada ulasan: