Khamis, 26 Julai 2012

PKR desak Najib lepas jawatan Menteri Wanita

 
Isu ini akan dimasukkan sebagai salah satu agenda kempen "Tolak Najib" yang akan dilancarkan serentak di seluruh negara pada 28 Julai depan.




PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak segera melepaskan jawatannya sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata sejak Najib memegang jawatan tersebut April lalu, beliau gagal mengemukakan pelan hala tuju pembangunan wanita Malaysia sama ada bagi tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.

Malah semua pencapaian dan pelaksanaan dibawah KPWKM tidak menunjukkan hasil walaupun jutaan dana dibelanjakan sejak tahun 2008.

“Slogan kata ‘Janji Ditepati’ tapi Najib sendiri tak tepati janji.

“Selagi Pilihan Raya Umum (PRU) 13 tak ditetapkan selagi itu kita terus desak Najib lepaskan jawatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pagi tadi.

Zuraida berkata, keadaan lebih parah apabila Najib sendiri gagal melantik pengganti Menteri Wanita daripada kalangan mana-mana Ahli Parlimen Wanita BN atau daripada 1.2 juta ahli Wanita Umno sendiri.

“Apakah dengan jawatan yang dipegangnya kini, antaranya Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi Khazanah Nasional, Pengerusi 1MDB dan Pengerusi Projek “High-Impact”, beliau akan mampu mentadbir KPWKM dengan baik,” soalnya.

Oleh itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menggesa Najib segera kemukakan calon Menteri Wanita yang baru.

Jawatan itu menggantikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang meletakkan jawatan kerana terpalit dengan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang turut dikaitkan dengan keluarganya.

Zuraida berkata, gesaan ini akan dimasukkan sebagai salah satu agenda kempen “Tolak Najib” yang akan dilancarkan serentak di seluruh negara pada 28 Julai depan.

Beliau berkata, kempen itu bagi memberi kesedaran mengenai kesan negatif jika Najib terus memegang jawatan Menteri Wanita.

Katanya, kempen itu akan bermula dengan edaran risalah ‘Hanya Untuk Wanita’ kepada golongan wanita di kawasan bandar utama sehingga ke pedalaman.

“Kempen itu nanti akan digerakkan oleh pemimpin PKR negeri dan turut disokong sayap Wanita parti PAS dan DAP,” katanya.

Tiada ulasan: