Sabtu, 28 Julai 2012

PKNS Sumbang Lebih RM70,000 Kepada Anak Yatim





SHAH ALAM  : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan sumbangan sejumlah RM70,455 kepada Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Sungai Merab pada majlis kesyukuran sempena ulangtahun PKNS ke-48 di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Sumbangan itu diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan disaksikan lebih 1000 hadirin terdiri daripada anggota PKNS sendiri.
 
Pengurus Besarnya, Othman Omar berkata sumbangan ini adalah untuk meraikan anak-anak yatim sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Menurutnya, selain sumbangan duit raya berjumlah RM150 seorang, PKNS turut menyerahkan sepersalinan baju raya, kurma dan biskut raya.

“Sebelum ini PKNS turut mengadakan majlis gotong royong di Pusat Jagaan Kanak-kanak ini yang dihadiri kira-kira 120 orang wakil dari persatuan PKNS dan pemain PKNS FC.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah mengecat semula blok asrama dan perpustakaan pelajar, membina bumbung di antara dua blok pejabat, membersih dalam dan luar blok asrama serta membaik pulih peralatan bilik air yang ditanggung sepenuhnya oleh PKNS,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan turut menyerahkan sumbangan berupa wang ringgit RM150 seorang, kurma dan biskut raya kepada 16 orang anak-anak yatim PKNS dan tiga anggota Orang Kelainan Upaya (OKU) pada Ogos depan.

Dalam pada itu, Othman menyifatkan PKNS telah melalui fasa kematangan dan pencapaian memberansangkan sejak 48 tahun lalu khususnya dalam sektor pembangunan hartanah, pengurusan alam sekitar dan keusahawanan.

“Saya percaya pencapaian yang diraih sehingga kini adalah berkat curahan tenaga pihak pengurusan dan 974 anggota yang setia bersama-sama di satu landasan yang sama sesuai dengan hasrat perbadanan membawa “Kemajuan Untuk Rakyat,” katanya lagi.


Tiada ulasan: