Selasa, 24 Julai 2012

Pimpinan UMNO makin terdesak, kali ini ugutan tragedi 13 Mei

Roketkini.com




KOTA KINABALU: DAP mencadangkan penubuhan jawatankuasa kebangsaan yang dianggotai semua parti politik dan NGO utama untuk memastikan tragedi hitam 13 Mei tidak akan berulang.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang mengemukakan cadangan itu berkata, beliau masih menunggu respon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau juga menanti jawapan kedua-dua pemimpin itu terhadap cadangannya untuk Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bekerjasama bagi memastikan dan menjamin bahawa tragedi 13 Mei tidak akan berulang dalam pilihanraya umum akan datang.

“Jika Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berjanji dengan ikhlas untuk memastikan tragedi 13 Mei tidak akan berulang dalam pilihanraya umum yang akan datang, ertinya, peristiwa hitam ini pasti tidak akan berlaku.

“Mengapa Muhyiddin dan Najib masih membisu sekiranya mereka berdua tidak mahu tragedi 13 Mei berulang?” soal beliau dalam satu kenyataan di Tenom, Sabah, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur telah mendedahkan bahawa UMNO dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasa kini menggunakan fitnah dan taktik kotor 4R iaitu “Race, Religion, Malay Rulers and Riots” (Kaum, Agama, Raja Melayu dan Rusuhan (ancaman 13 Mei) untuk terus menyerang DAP dan Pakatan Rakyat.

Katanya, fitnah dan 4R itu menjadi modus operandi UMNO-BN bagi menghadapi pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah negara ini dalam usaha terdesak mereka untuk kekal berkuasa.

Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun yang lalu, puak-puak propagandis UMNO dengan menggunakan dan memanipulasi media arus perdana serta media sosial dan alam-alam sesawang, telah menggunakan taktik kotor 3R iaitu Race, Religion and Malay Rulers (Kaum, Agama dan Raja Melayu) untuk menfitnah dan menghitamkan DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Raja Melayu.

Namun, jelas beliau, ia tidak banyak memberi kesan kepada rakyat kerana teknologi maklumat yang lebih telus berjaya membuktikan tohmahan UMNO adalah palsu dan fitnah.
“Sejak penubuhan 46 tahun yang lalu dalam 1966, DAP telah memberi komitmen untuk menjadi parti politik bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau negeri.

“Dalam pilihanraya 1969 yang pertama kali ditandingi DAP, kami telah meletakkan calon-calon Melayu di mana dua calon Melayu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri – satu dari negeri Perak dan satu lagi dari Negeri Sembilan.

“DAP juga mempunyai beberapa Ahli Parlimen dari kalangan orang Melayu, terutama sekali bekas Presiden CEUPACS Ahmad Nor yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang.

“Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa DAP menjadi parti terkemuka sebagai parti se-Malaysia dengan cawangan-cawangan yang telah ditubuhkan serta beroperasi berlandaskan rukun politik bukan sahaja di semua negeri di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak,” tambah beliau.

Menurut Kit Siang, semua usaha itu menyangkal terus serangan senjata 3R UMNO terhadap DAP dengan melabelkannya sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja Melayu yang jelas tiada kredibiliti atau asas.

“Sokongan DAP terhadap sistem raja-raja berperlembagaan tidak boleh dicabar atau dipertikaikan kerana Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat jelas menunjukkan komitmen ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS untuk menghormati, menyokong dan menjunjung cirri-ciri asas perlembagaan – termasuklah peruntukan atau provisi berhubung dengan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan sistem rara-raja Melayu”, tambahnya.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada pemimpin UMNO dan puak-puak propagandis mereka yang telah sedar bahawa senjata fitnah 3R mereka terhadap DAP sudah gagal, maka  kini mengeluarkan senjata keempat dengan ancaman satu lagi R iaitu rusuhan sekiranya UMNO-BN kehilangan kuasa persekutuan dalam pilihanraya umum akan datang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: