Aslani M, |
KOTA BHARU: Isu diskriminasi baja cap dacing yang berlarutan sejak 20 tahun lalu, dikejutkan pula apabila ada petani dipaksa memasang bendera Barisan Nasional (BN) sebelum borang bantuan ditandatangani.
Borang tersebut perlu ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sebagai syarat bagi mendapatkan baja subsidi.
Isu terbaru itu didedahkan Hassan Mohamood (PAS-Tawang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.
Katanya, isu berkenaan berlaku di Kampung Takel di mana petani yang datang untuk menandatangani borang permohonan baja subsidi cap dacing diarah JKKKP memasang bendera BN dipagar rumah mereka.
“Ramai petani mengadu kepada saya masalah itu. Saya kata kepada mereka mengapa tidak ambil. Lalu mereka jawab geli hendak pegang bendera Umno atau dacing.
“Petani memberitahu mereka dipaksa memasang tiga bendera BN di pagar rumah selepas borang permohonan baja ditandatangani JKKKP
“Semalam kita bentuk satu jawatankuasa bersama penduduk bagi menangani masalah tersebut,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan.
Isu baja cap dacing digegerkan di Kelantan sejak 1990 apabila petani yang tidak menyokong BN sukar untuk mendapatkan baja subsidi.
Ada kes di mana petani perlu bersumpah tidak lagi mahu mengundi PAS bagi membolehkan mereka mendapatkan baja.
Malah isu berkenaan sering kali dibangkitkan pada persidangan Dun, namun ia belum selesai sehingga sekarang biar pun Ketua Pembangkang penggal lalu, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan akan menyelesaikannya.
Berikutan masalah tersebut kerajaan negeri mengeluarkan sendiri baja padi yang diurus Kumpulan Pertanian Kelantan Sdn Bhd. Setiap tahun kira-kira RM2 juta diperuntukan bagi tujuan tersebut.
Sebelum itu ketika menjawab soalan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat) Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, kawasan pertanian terbiar seluas 2,677 hektar berjaya dipulih sejak 2006 hingga tahun ini.
Katanya, purata kawasan yang dipulih setiap tahun seluas 200 hektar.
“Pelbagai usaha dilakukan bagi memulihkan kawasan yang lebih tiga tahun terbiar termasuk mewujudkan sistem pengairan, bantuan input pertanian dan kefahaman lebih menyeluruh melalui konsep Bertani Satu Ibadah,” ujarnya.
Persidangan Dun Kelantan berakhir tengah hari tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan